Mitroglou wir...

Mitroglou wira Benfica

LISBON, 15 Feb – Benfica mempamerkan rentak klasik dan pantas merebut peluang untuk membenam Borussia Dortmund yang terkial-kial pada perlawanan pusingan pertama 16 pasukan terakhir, kelmarin.

Jaringan tunggal perlawanan Kostas Mitroglou dari jarak dekat selepas satu tandukan melantun hasil tendangan sudut Pizzi, disudahkan Mitroglou yang pantas bertindak dekat pintu gol.

Bagaimanapun, penjaga gol Benfica, Ederson yang diketepikan dalam senarai XI utama muncul bintang perlawanan apabila menampilkan beberapa aksi tangkas bagi menyelamatkan gawang daripada dibolosi.

Tetapi Dortmund pastinya dihimpit rasa kesal apabila mensia-siakan beberapa peluang terhidang terutama penyerangnya, Pierre-Emerick Aubameyang yang gagal menyempurnakan tiga peluang terbaik.

“Malam ini adalah usaha terhebat pasukan. Kemenangan seperti ini amat bagus untuk keyakinan,” kata Victor Lindelof.

Mitroglou meraikan jaringan pembukaan bersama rakan semasa menentang Dortmund di stadium Luz, Lisbon untuk perlawanan pusingan pertama Liga Juara-Juara, kelmarin. – AP
Mitroglou meraikan jaringan pembukaan bersama rakan semasa menentang Dortmund di stadium Luz, Lisbon untuk perlawanan pusingan pertama Liga Juara-Juara, kelmarin. – AP

Dortmund sepatutnya sudah berada di depan seawal minit ke-38 namun Ederson menjadi penghalang menyaksikan babak pertama berakhir tanpa gol.

Selepas aksi bersambung, Benfica hanya memerlukan tiga minit untuk meraikan jaringan selepas Mitroglou yang tidak dikawal mudah merembat masuk hasil sepakan sudut.

Malang Aubameyang berterusan apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti dan dia kemudian dikeluarkan digantikan Andre Schuerle.

Dortmund terus menekan tetapi voli yang dicedok oleh Reus tersasar sebelum Ederson dapat membaca gerakan voli Christian Pulisci yang lemah selepas bola melantun.

“Kami mendapat banyak peluang tapi serba-serbi tak menjadi. Kami ada lagi aksi pusingan kedua,” kata Schuerrle. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA