MixedStar menang 5-3 ke atas Syahkampong

MixedStar menang 5-3 ke atas Syahkampong

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Persaingan Liga Futsal Brunei yang memasuki minggu terakhirnya terus berlangsung sengit dengan pasukan-pasukan yang sudah terkeluar dari persaingan merebut tiga tempat teratas tidak terkecuali.

Satu dari perlawanan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) pada malam Sabtu berkenaan ialah Mixed Star FT lawan Syahkampong yang masing-masing berada di kedudukan kesembilan dan kesepuluh.

Perlawanan yang berkesudahan 5-3 memihak Mixed Star FT itu menyaksikan Syahkampong mendahului 1-0 menerusi jaringan ketua pasukannya, Awang Md Amirul Azim pada minit ke-4.

Empat minit kemudian kedudukan menjadi 1-1 apabila Awangku Md Khairul Huda berjaya menjaringkan gol dari sepakan percuma pada jarak enam meter, berdekatan garisan petak D Syahkampong, yang menembusi dinding pertahanan lawan.

Pada minit ke-12 kedudukan berubah menjadi 2-1, Mixed Star FT pula di depan setelah Md Hazim berjaya membolosi gawang Syahkampong, dan dua minit kemudian Mixed Star FT menambah pendahuluannya kepada dua gol, kali ini menerusi jaringan kedua peribadi Awangku Md Khairul Huda.

Mixed Star FT (putih) dan Syahkampong (hijau hitam) dalam aksi minggu terakhir BFL2015 yang dimenangi Mixed Star FT 5-3.
Mixed Star FT (putih) dan Syahkampong (hijau hitam) dalam aksi minggu terakhir BFL2015 yang dimenangi Mixed Star FT 5-3.

Mixed Star FT kemudiannya melakukan enam kesalahan terkumpul pada minit ke-16 untuk memberikan Syahkampong ‘hadiah’ penalti 10 meter yang disempurnakan dengan cemerlang oleh Hanif Ariz menuju ke gawang atas sebelah kanannya untuk kedudukan 2-3 di bawa sehingga rehat.

Separuh masa kedua berlangsung tanpa jaringan selama sembilan minit sehinggalah pemain bawah 21 tahun Syahkampong, Abu Yadiz berjaya menyamakan kedudukan untuk kedudukan 3-3 pada minit ke-29.

Mixed Star FT kemudiannya berjaya menjaringkan dua gol pantas dalam tempoh dua minit menerusi serangan balas iaitu pada minit ke-34 oleh Md Hazlantul dan kemudiannya Md Ali Safwan pada minit ke-35.