MixedStar tambat RizFiz

MixedStar tambat RizFiz

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Mixed Star FT melakukan kebangkitan menarik dalam saingan minggu ke-10 Liga Futsal Brunei (BFL) 2015 sejak mengejutkan Arbisyam FC 20 Mac lalu apabila berjaya mengikat RizFiz FT 2-2.

Persaingan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu agak menarik dengan tiga minit pertama menyaksikan tiga jaringan berturut-turut dihasilkan.

Minit pertama sudah menyaksikan Amalul Arif menjaringkan gol pertama RizFiz FT, namun hanya seminit kemudian kedudukan menjadi 1-1 apabila Nornasrullah menjaringkan gol pertama Mixed Star FT.

Amalul Arif sekali lagi menjaringkan gol buat RizFiz FT, yang dilakukannya hanya seminit selepas gol penyamaan Mixed Star FT, untuk mengemudi pendahuluan 2-1 RizFiz FT sehingga separuh masa pertama tamat.

Perlawanan terus berlangsung sengit namun tiada gol mampu dijaringkan sehinggalah separuh masa kedua berlalu 16 minit apabila Nornasrullah menghasilkan gol kedua peribadi dan pasukannya untuk mengikat kedudukan pada 2-2, yang ternyata kekal sehingga selesai perlawanan.

Mixed Star FT (putih) dan RizFiz berkongsi satu mata setelah seri 2-2.
Mixed Star FT (putih) dan RizFiz berkongsi satu mata setelah seri 2-2.

Kejayaan mengutip satu mata itu membawa Mixed Star FT memintas BSRC FT, yang telah memberikannya kemenangan percuma pada 17 Mei lalu.

Star FT kini mengumpul 10 mata di kedudukan kesembilan, sementara BSRC FT yang berdepan denda, pembatalan penyertaan dan penggantungan atas kesalahan melanggar Peraturan & Undang-Undang BFL2015 Para 13.2, mengumpul sembilan mata.

RizFiz FT pula kekal di kedudukan keenam dengan 12 mata, satu mata di atas Street United di tangga ketujuh dan tujuh mata di belakang PBDB FT di tempat kelima. Perlawanannya dengan Mixed Star FT itu mungkin menjadi perlawanan terakhir RizFiz FT kerana lawan terakhirnya yang dijadualkan 2 Jun nanti adalah BSRC FT.