MKJB jalankan latihan kemahiran IMO

MKJB jalankan latihan kemahiran IMO

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 1 Sept – Seramai 16 peserta telah terpilih untuk menyertai Kursus Latihan Pelatih Berdasarkan Model Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) yang berlangsung selama empat hari, bermula kelmarin, di Kampus Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah (MKJB) Institut Pendidikan Teknik Brunei (IBTE), di sini.

Para peserta kursus, yang dikendalikan untuk memenuhi keperluan IMO STCW (Standard of Training and Certificate and Watchkeeping) bagi para pelatih dan keperluan separa bagi para penilai ini, terdiri daripada tenaga pengajar dari Kampus MKJB dan beberapa orang pegawai dari Jabatan Marin, Kementerian Perhubungan dan industri marin termasuk Brunei Gas Carrier.

Menurut kenyataan IBTE, latihan ini direka untuk memenuhi keperluan STCW di mana para pelatih dan penilai mestilah berkelayakan dan berpengalaman dalam teknik-teknik pengajaran dan keperluan peringkat 4 TMSA Element 2 untuk mempromosikan latihan kemahiran interpersonal yang sesuai.

Latihan dikendalikan oleh dua pegawai berkelayakan dari Akademi Maritim Singapura, Politeknik Singapura, Kapten Osman Sam dan Kapten Ho Thye Sang.

Sepanjang latihan empat hari itu, para peserta diajar untuk membiasakan diri dengan teknik-teknik latihan, proses merangka pelan latihan, membangunkan objektif latihan, memilih proses pembelajaran, mereka bentuk penilaian praktikal dan juga meningkatkan kemahiran pembentangan kertas kerja di mana mereka membuat pembentangan video.

Kapten Osman berbincang bersama pelatih dalam kursus itu.
Kapten Osman berbincang bersama pelatih dalam kursus itu.
Kapten Osman Sam dan Kapten Ho Thye Sang semasa ditemu bual.
Kapten Osman Sam dan Kapten Ho Thye Sang semasa ditemu bual.

Ketika ditemui, hari ini, Kapten Osman memberitahu pada dasarnya terdapat satu standard minimum dalam STCW yang menyatakan semua pelaut-pelaut (seafarers) mesti dilatih supaya diiktiraf di peringkat antarabangsa, dan apabila telah diiktiraf, mereka akan dapat bekerja di atas kapal-kapal antarabangsa.

“Apabila kita bercakap mengenai pelayaran laut (seafaring), apa yang penting adalah kecekapan tenaga-tenaga pengajar ini dalam memahami secara mendalam bidang tersebut. Bukan sahaja berasaskan pengetahuan tetapi juga berdasarkan bagaimana mereka mempraktikkan kaedah-kaedah yang dipelajari, dan semua ini terletak di bawah pematuhan IMO,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, apabila tenaga-tenaga pengajar ini sudah mempelajari selok-belok mengenai kursus ini, mereka boleh mengendalikan latihan dan mengambil alih tanggungjawab mengajar kurikulum tersebut kepada pelajar-pelajar di maktab berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA