MKJB semarakkan Israk dan Mikraj

MKJB semarakkan Israk dan Mikraj

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 28 Mei – Bagi memperingati peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW serta sebagai tanda cinta dan patuh kepada Baginda, Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah(MKJB) telah mengadakan majlis ceramah yang diadakan di Masjid RPN Kampung Pandan di sini, kelmarin.

Majlis ceramah yang dihadiri oleh kalangan pelajar dan guru-guru MKJB itu, juga dihasratkan dapat memberikan kesedaran, dan mencontohi segala sifat-sifat mahmudah Rasulullah dan menjadikan peristiwa Israk dan Mikraj sebagai pengajaran dan teladan serta sebagai bekalan para pelajar apabila tamat pengajian seterusnya masuk ke alam pekerjaan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengetua Kampus Satelit, Institut Pendidikan Teknikal Brunei, Awang Norjemee bin Awang Jenek.

Dalam ucapannya, Awang Norjemee menyatakan harapan supaya pelajar-pelajar dapat mengaplikasikan segala contoh teladan dan sifat-sifat mahmudah dalam hal ibadah mereka, serta pentadbiran mereka di masa akan datang dan hal-hal yang berkaitan dengan kemasyarakatan dan yang seumpamanya.

Beliau juga berharap majlis seperti itu akan dapat memupuk semangat bekerjasama dan menjalinkan silaturahim yang baik sama ada dalam kalangan warga maktab sendiri mahupun dengan mana-mana jabatan kerajaan atau pihak swasta.

Antara yang menghadiri Majlis Ceramah Israk Mikraj Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah (MKJB) diadakan di Masjid RPN Kampung Pandan.
Antara yang menghadiri Majlis Ceramah Israk Mikraj Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah (MKJB) diadakan di Masjid RPN Kampung Pandan.
Haji Haslan ketika menyampaikan ceramahnya.
Haji Haslan ketika menyampaikan ceramahnya.

“Bagi perancangan jangka panjang pula, majlis seperti ini diharapkan dapat melahirkan generasi yang berpengetahuan luas dalam agama Islam sekali gus merealisasikan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menjadikan negara ini sebagai Negara Zikir,” ujarnya.

Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah dan sijil penghargaan kepada pelajar-pelajar yang menyertai pertandingan keagamaan dan MIB seperti Pertandingan Dikir, Majlis Khatam Al-Quran, Bengkel Menghalusi Sembahyang dan juga pertandingan pidato dan debat pada tahun ini.

Ceramah bertajuk “Sembahyang Penyelamat Kita” pada majlis itu telah disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Haji Haslan bin Haji Shahbudin selaku penceramah undangan.

Majlis diakhiri dengan mengerjakan sembahyang fardu Asar berjemaah yang diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid RPN Kampung Pandan, Awang Akop bin Lamat.

ARTIKEL YANG SAMA