MKM bantu mangsa kebakaran rumah

MKM bantu mangsa kebakaran rumah

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 April – Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) atau Majlis Kebajikan Sosial Brunei telah menghulurkan bantuan berupa wang tunai kepada mangsa kebakaran rumah di Kampung Limau Manis, Jalan Batu Ampar, baru-baru ini.

Pada majlis penyerahannya, Pegawai MKM, Naib Presiden 1, Dayang Nur Judy binti Abdullah dan Naib Presiden 2, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Laila Perkasa Kol (B) Dato Paduka Haji Mahdini bin Dato Paduka Haji Basir bersama ahli lain telah menghulurkan derma sebanyak $500 kepada pemilik rumah yang terlibat dalam kebakaran, Awang Ya’akub bin Israil, 81, dan $500 kepada Dayang Noorhayati binti Shahbudin iaitu penjaga Awang Ya’akub.

“Kami semua amat sedih apabila mendengar berita mengenai rumah Awang Ya’akub terbakar Selasa lalu. Kami amat bersyukur Dayang Noorhayati sempat menyelamatkan Awang Ya’akub yang ketika itu sedang tidur semasa kebakaran meletus. Semua barangan dalam rumahnya habis rentung,” kata Dayang Nur Judy.

Menurut kenyataan yang diterima, Awang Ya’akub sudah menjadi klien MKM sejak 2011.

Beliau bersama Allahyar-hamah isterinya sudah lama tinggal di rumah itu sejak 35 tahun yang lalu dan MKM telah banyak membantu pasangan warga emas itu dalam pelbagai cara termasuk memeduli mereka apabila mereka dimasukkan ke hospital, bergotong-royong membersihkan rumah dan turut menghulurkan beberapa keperluan lain.

Ahli MKM ketika menyerahkan sumbangan derma kepada Awang Ya’akub dan Dayang Noorhayati.
Ahli MKM ketika menyerahkan sumbangan derma kepada Awang Ya’akub dan Dayang Noorhayati.

Oleh sebab kedua-duanya sudah uzur, MKM juga telah meminta bantuan saudara Awang Ya’akub, Dayang Noorhayati bagi membantu menjaganya dan isterinya sebelum itu.

Namun setelah kematian isteri Awang Ya’akub pada Disember 2012, barulah Dayang Noorhayati bersama keluarganya berpindah ke kediaman Awang Ya’akub, yang juga dibekalkan elaun bulanan bagi menambah perbelanjaan seisi rumah.

Pada masa ini, MKM sedang bekerjasama dengan saudara terdekat Awang Ya’akub bagi membincangkan masa depan kesejahteraannya.

ARTIKEL YANG SAMA