MKM lakar lembaran baru

MKM lakar lembaran baru

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) melakar lembaran baru dengan membuka pejabat barunya bertempat di Unit 23, Blok C, Kompleks Melabau, Serusop dan dirasmikan oleh Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim, hari ini.

Majlis perasmian itu turut diselajurkan dengan pelancaran Skim Taja Keluarga dan Sejambak Kasih pengagihan pakaian-pakaian bagi mereka yang memerlukan di Daerah Brunei dan Muara.

Yang Di-Pertua MKM, Datin Paduka Hajah Intan binti Haji Mohd Kassim dalam ucapannya melahirkan perasaan gembira kerana perasmian pejabat MKM ini menandakan satu lambaran baru dalam pengurusan dan pentadbiran persatuan berkenaan yang mana sebelum ini berpejabat di Pusat Belia.

Beliau turut berterima kasih atas kemurahan hati dua orang hamba Allah yang menaja pembayaran sewa bagi pejabat MKM selama 14 bulan dan sumbangan itu memberikan suntikan semangat baru kepada seluruh ahli dan jawatankuasa tadbir MKM dalam melaksanakan fungsi persatuan ini.

Ahli-ahli MKM semasa menyampaikan pengagihan pakaian-pakaian bagi mereka yang memerlukan.
Ahli-ahli MKM semasa menyampaikan pengagihan pakaian-pakaian bagi mereka yang memerlukan.
Awang Misle bersama tetamu lain hadir pada majlis perasmian pejabat baru MKM.
Awang Misle bersama tetamu lain hadir pada majlis perasmian pejabat baru MKM.
Suasana dalaman pejabat baru MKM.
Suasana dalaman pejabat baru MKM.

“Dengan ibu pejabat baru ini, MKM berhasrat akan dapat mengendalikan kegiatan-kegiatan seperti sesi pelajaran agama, motivasi diri, latihan kemahiran, pengurusan kewangan dan sebagainya kepada klien-klien MKM yang berdaftar dan keluarga mereka. Insya-Allah usaha ini akan dilaksanakan selepas Hari Raya nanti.”

Menurut beliau, MKM telah mengadakan perundingan dengan beberapa persatuan lain yang akan bekerjasama dengan MKM untuk mengendalikan kegiatan tersebut dan dengan adanya pejabat ini juga MKM akan dapat mengurangkan kos pengendalian bagi kegiatan tersebut dan dapat melaksanakannya tanpa ruang yang terhad.

Datin Paduka Hajah Intan berkata, dalam projek Taja Keluarga ini, MKM menawarkan kepada penderma-penderma untuk menaja satu keluarga yang berdaftar dengan MKM dan tajaan tersebut adalah berbentuk wang tunai sebanyak $100 setiap bulan bagi setiap keluarga. Melalui wang tersebut akan dibelikan keperluan asasi.

Pada masa ini, seramai 28 buah keluarga telah pun mendapat bantuan tersebut sejak ianya dikendalikan bermula pada tahun lepas. Bilangan ini akan bertambah dengan peningkatan bilangan penaja dan dengan pelancaran ini, MKM membuka projek kepada sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan.

Mengenai dengan pengagihan pakaian, beliau berkata, aktiviti tersebut telah dikendalikan dengan jayanya di Daerah-daerah Temburong, Tutong dan juga Belait. Malah pagi ini, beribu-ribu pasang pakaian telah pun diagihkan khusus bagi Daerah Brunei dan Muara.

Menurut Datin Paduka Hajah Intan lagi, dalam bulan Ramadan ini, MKM seperti biasa akan mengendalikan projek pengagihan makanan berbuka puasa kepada keluarga yang memerlukan sama ada daripada pembayaran fidyah atau sumbangan secara langsung, pengagihan zakat dan pengagihan persediaan hari raya nanti.

Selain itu, MKM juga telah mengadakan projek antarabangsa Skim Waqaf Tube-Well di beberapa buah kampung yang tidak mempunyai bekalan air di Bangladesh.

Dengan adanya Waqaf Tube-Well ini, ia akan dapat membantu penduduk kampung di negara itu untuk mendapatkan bekalan air di kawasan berhampiran tempat tinggal mereka.

Sempena perasmian pejabat baru hari ini, MKM turut memperkenalkan kad istimewa MKM sebagai kad rasmi MKM yang digunakan oleh para ahli eksekutif MKM dalam membuat urusan berhubung kait dengan MKM.

ARTIKEL YANG SAMA