MKM Orienteering Challenge for Charity 13 Mac depan

MKM Orienteering Challenge for Charity 13 Mac depan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jan – Dalam usahanya untuk mengumpulkan dana bagi melaksanakan kegiatan amal secara berterusan, Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) sekali lagi akan mengadakan MKM Orienteering Challenge for Charity 2016.

Aktiviti cabaran yang berkonsepkan ‘Beriadah Sambil Menyumbang’ ini akan diadakan pada 13 Mac depan yang bermula dan berakhir di kawasan letak kereta perkarangan Stadium Negara Hassanal Bolkiah Berakas.

Menurut kenyataan MKM, kawasan perlawanan akan merangkumi persekitaran Bandar Seri Begawan, Jalan Pantai Berakas, Hutan Simpan Berakas, Pekan Muara, Pantai Muara, Pantai Serasa, Kawasan Perumahan Kampung Meragang, Tanah Jambu dan Mentiri serta persekitaran Stadium Negara Hassanal Bolkiah Berakas sendiri.

Cabaran ini dibukakan untuk penyertaan orang ramai berusia 18 tahun ke atas dan memiliki tahap kesihatan yang memuaskan di samping syarat dan peraturan lain yang dikehendaki dalam perlawanan ini.

Borang penyertaan akan diselenggarakan oleh Jawatankuasa Promosi dan Pemasaran perlawanan.

Perlawanan ini hanyalah dibuka untuk kategori berkumpulan dengan setiap kumpulan mempunyai empat orang peserta sahaja dan sebuah kenderaan.

Yuran penyertaan bagi sebuah kumpulan ialah $200, yang mana setiap peserta akan menerima baju T cabaran dan tuala muka, di samping sijil penyertaan.

Kutipan daripada yuran pendaftaran itu nanti, 100 peratus akan dimasukkan ke dalam tabung MKM.

MKM dalam kenyataannya menjelaskan, cabaran ini adalah sejenis aktiviti sukan mencari Triangle Reflectors dan menghuraikan persoalan yang dikehendaki dalam arahan bertulis dengan merentasi sesebuah kawasan atau tempat yang telah disediakan dengan cara berlari, berjalan kaki atau pun menggunakan kenderaan.

Sukan berkumpulan ini memerlukan kebijaksanaan dalam membuat keputusan di samping kekuatan mental, fizikal dan sifat kerjasama dalam berkumpulan.

Dengan hanya dibekalkan kad mata, arahan bertulis dan peta jalan sebagai alat panduan, para peserta akan diberi masa yang tertentu untuk mencari jalan merentasi kawasan-kawasan yang telah ditetapkan bagi mendapatkan kesemua Triangle Reflectors yang dikehendaki dan menghurai segala persoalan-persoalan yang ada dalam arahan bertulis untuk mendapatkan jawapan yang tepat dan betul.

Peserta akan dikira hilang kelayakan atau terkeluar daripada perlawanan apabila gagal kembali ke garis penamat selepas waktu yang ditetapkan, walaupun peserta berjaya mendapatkan kesemua Triangle Reflectors dan berjaya melengkapkan semua persoalan yang diarahkan di dalam Written Drive.

Dalam cabaran itu, para peserta akan menghadapi pelbagai halangan dan kekeliruan yang akan mengganggu dan melambatkan masa pergerakan, yang dicipta sedemikian rupa sebagai cabaran kepada setiap pasukan.

Bijak dalam merancang, membuat keputusan, bertindak secara berkumpulan dengan cepat dan tepat adalah kunci utama untuk berjaya di dalam cabaran ini.

Setiap Triangle Reflectors dan persoalan mempunyai markah dan peserta akan dinilai dari segi masa, jumlah markah yang dikumpulkan dan mematuhi semua syarat serta arahan yang dikehendaki dalam peraturan perlawanan yang ditetapkan.

Untuk memenangi cabaran berkenaan, peserta-peserta akan dinilai daripada jumlah markah terbanyak dalam lingkungan masa yang telah ditetapkan.

ARTIKEL YANG SAMA