MKM sertai Kursus Asas Hak Asasi Kanak-kanak

MKM sertai Kursus Asas Hak Asasi Kanak-kanak

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jun – Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM), baru-baru ini, telah menyertai Kursus Asas Hak Asasi Kanak-Kanak yang berlangsung di Bangkok, Thailand, bermula 15 Jun lalu hingga kelmarin.

Menurut kenyataan MKM, di sini, hari ini, seramai 30 peserta dari negara-negara anggota ASEAN mengikuti kursus berkenaan, termasuk perwakilan daripada SMARTER dan Majlis AIDS Brunei Darussalam.

Kursus asas ini adalah yang pertama bagi persatuan-persatuan masyarakat sivil (CSOs) kebangsaan dan serantau ASEAN yang menyokong hak asasi kanak-kanak, dan dianjurkan oleh Pusat Hak Asasi Manusia Ateneo de Manila University dan dibiayai oleh Save the Children International.

MKM dalam kenyataannya menjelaskan, kursus berkenaan merupakan pengenalan kepada rangka kerja antarabangsa mengenai hak asasi kanak-kanak dan bagaimana ia dilaksanakan dan diaplikasikan di rantau ASEAN.

Konvensyen Hak Asasi Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCRC) adalah konvensyen yang paling banyak diratifikasikan berbanding perjanjian hak-hak asasi manusia lain dalam sejarah, dengan 192 negara menjadi Negara Ahli kepada Konvensyen berkenaan setakat November 2005. Brunei Darussalam menyetujui konvensyen berkenaan pada Disember 1995.

pg06_150620_b

Datin Paduka Hajah Intan (tengah) bersama rakan ketika menyertai Kursus Asas Hak Asasi Kanak-Kanak yang berlangsung di Bangkok, Thailand.
Datin Paduka Hajah Intan (tengah) bersama rakan ketika menyertai Kursus Asas Hak Asasi Kanak-Kanak yang berlangsung di Bangkok, Thailand.

Dalam kursus berkenaan, para peserta belajar daripada gambaran keseluruhan undang-undang antarabangsa dan mekanisme serantau mengenai kanak-kanak, termasuk perkembangan undang-undang sedemikian dan maklumat terkini mengenai perkembangan legal serta aspek-aspek berkaitan dengan psikologi pembangunan kanak-kanak.

Para peserta memahami butiran UNCRC dan dasar-dasar terasnya serta Protokol Pilihan, selain itu mereka turut bertukar-tukar pengalaman mengenai isu-isu bersama mengenai hak asasi kanak-kanak dan mengetahui pendekatan berasaskan hak asasi manusia dan mengaplikasikannya kepada kerja-kerja CSOs di rantau ini.

Menurut kenyataan itu, Pesuruhjaya ASEAN bagi Kanak-kanak dan pengerusi kini Suruhanjaya ASEAN bagi Promosi dan Perlindungan Hak |Asasi Wanita dan Kanak-kanak (ACWC) di ASEAN, Datin Paduka Hajah Intan binti Haji Mohd Kassim merupakan salah seorang daripada pembentang utama dalam kursus berkenaan, dengan membincangkan tajuk ‘Right to Development focusing on Education as Parent and States Shared Responsibility: Challenges and Good Practices’.

Beliau yang juga merupakan presiden MKM, turut mengongsikan amalan-amalan terbaik Brunei Darussalam dalam menegakkan hak asasi kanak-kanak kepada pembangunan menerusi pelaksanaan dasar Pendidikan untuk Semua.

Kursus telah diakhiri dengan lawatan sambil belajar ke Ban Kanchanapisek Juvenile Vocational Training Center for Boy Offenders di wilayah Nakhon Phanom, yang merupakan pusat pemulihan bagi kanak-kanak yang mempunyai konflik dengan undang-undang.

Apa yang unik mengenai pusat berkenaan adalah, ia tidak mempunyai pagar atau dinding untuk menahan kanak-kanak di dalamnya. Program-program pemulihan kanak-kanak menumpukan dengan mengajar mereka kemahiran kehidupan dan menggalakkan mereka menyedari nilai diri mereka.

ARTIKEL YANG SAMA