MKM, TelBru ceriakan pelajar susah

MKM, TelBru ceriakan pelajar susah

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Dis – Musim persekolahan tahun 2016 akan bermula tidak lama lagi dengan para ibu bapa mula mendapatkan barangan keperluan persekolahan bagi anak-anak mereka.

Bagi keluarga yang kurang berkemampuan, mereka juga tidak ketinggalan untuk mendapatkan barangan keperluan persekolahan anak-anak hasil bantuan yang dihulurkan oleh Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) bersama-sama TelBru menerusi Projek Balik Ke Sekolah Tahun Akademik 2016.

Ini adalah kali kedua program tersebut diungkayahkan di mana keluarga-keluarga yang dikenal pasti dibawa membeli barangan keperluan sekolah di kedai-kedai di Serusop, hari ini.

Hadir semasa projek itu ialah Naib Presiden II MKM, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Laila Perkasa Kolonel (B) Dato Paduka Haji Mahdini bin Dato Paduka Haji Basir, ahli-ahli MKM dan seramai 15 orang sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan TelBru untuk membantu keluarga terbabit, membuat pembelian barangan sekolah.

Yang Dimuliakan Pehin Haji Mahdini dalam wawancara ringkas bersama Media Permata, berkata sumbangan bagi projek itu bukan sahaja diperoleh dari MKM dan TelBru tetapi juga sumbangan daripada penderma-penderma persendirian dan juga sebahagian dari sumbangan oleh Persatuan Warga Malaysia hasil dari Larian Warna Muhibah baru-baru ini.

Yang Dimuliakan Pehin Haji Mahdini bersama-sama sukarelawan dari TelBru dan MKM membantu para pelajar dan keluarga membuat pembelian barangan keperluan sekolah melalui projek berkenaan.
Yang Dimuliakan Pehin Haji Mahdini bersama-sama sukarelawan dari TelBru dan MKM membantu para pelajar dan keluarga membuat pembelian barangan keperluan sekolah melalui projek berkenaan.
Sukarelawan membantu para pelajar membuat pemilihan kasut.
Sukarelawan membantu para pelajar membuat pemilihan kasut.

Projek itu merupakan salah satu usaha berterusan MKM menyokong usaha kerajaan berhubungan dengan isu-isu kebajikan keluarga dan kanak-kanak.

Inisiatif berkenaan diharap dapat mengurangkan beban ibu bapa yang terpilih serta membawa kegembiraan kepada mereka dalam persediaan tahun baru ini.

Menurut MKM, projek itu lazimnya membelanjakan di antara $150 hingga $300 setiap seorang pelajar dan bagi pelajar sekolah menengah, mereka memerlukan perbelanjaan yang lebih.

Seramai 170 orang pelajar dihulurkan bantuan pembelian barangan keperluan sekolah dalam projek itu, di mana pihak MKM dan TelBru membantu dalam pembelian barangan sekolah termasuk kasut sekolah dan sukan, pakaian sekolah, buku-buku kerja serta barang-barang keperluan sekolah yang lain.

Sementara itu, Presiden MKM, Datin Paduka Hajah Intan binti Haji Mohd Kassim menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang banyak membantu dan menghulurkan sumbangan dalam menjayakan program kebajikan yang dikendalikan oleh MKM.

Melalui usaha yang dilaksanakan oleh semua pihak, MKM berjaya untuk membantu dan mendapat pengiktirafan sebagai sebuah persatuan bukan kerajaan yang dikenali di dalam negara tetapi juga di negara-negara serantau dalam melaksanakan kerja-kerja amal bagi golongan yang kurang berkemampuan di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA