MMN bersidang mulai 5 mac

MMN bersidang mulai 5 mac

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan ke-12 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi tahun ini akan berlangsung pada Sabtu, 5 Mac ini di Bangunan Dewan Majlis di Jalan Dewan Majlis.

Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama ini akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Majlis Mesyuarat Negara aka dipengerusikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib selaku Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara dan dibantu oleh Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar dan Timbalan Jurutulis MMN, Dayang Rose Aminah binti Haji Ismail.

Persidangan Majlis Mesyuarat Negara pada tahun ini akan memasuki usia 12 tahun bersidang sejak ianya diwujudkan semula dan pada tempoh tahun-tahun majlis bersidang, ia telah banyak membincangkan dan membahaskan isu-isu dan persoalan untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.

Di samping itu, persidangan ini juga amat bermakna bagi Negara Brunei Darussalam dalam usaha kerajaan memberikan kebebasan rakyatnya bersuara secara bermuzakarah dan muafakat agar persidangan dapat menjadi forum bagi tempat menyalurkan pendapat dan pandangan secara sihat dalam menentukan nasib rakyat dan penduduk negara ini dan juga dalam pembangunan negara ke arah yang baik dan maju.

pg01_160227_a

Majlis Mesyuarat Negara (MMN) telah ditubuhkan menurut Bab 23 daripada Perlembagaan Negara Brunei, 1959 dan ahli-ahlinya dilantik menurut Bab 24.

Ia telah dibubarkan pada tahun 1984 dan pada 25 September 2004, majlis ini telah mula bersidang semula.

Penubuhan persidangan ini adalah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-58 tahun pada 15 Julai 2004.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, sesi Persidangan akan diadakan sehari selepas Istiadat Pembukaan Rasmi atau pada hari serta waktu yang ditetapkan oleh Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara.

Sesi Persidangan Majlis Mesyuarat Negara ini adalah terbuka kepada orang awam yang berminat untuk mendengarkan perbincangan dan perbahasan dalam Dewan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara.

Ia juga boleh dihadiri oleh mana-mana institusi pendidikan yang berminat untuk memberikan pendedahan kepada penuntut-penuntut atau mahasiswa/mahasiswi dengan tatacara membincangkan sesebuah rang undang-undang di Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan itu, bagi mana-mana pihak yang berhasrat untuk menghadiri Sesi Persidangan Majlis Mesyuarat Negara adalah diminta untuk mematuhi beberapa peraturan khususnya berkenaan dengan kod pakaian dan tatacara untuk masuk ke Dewan Majlis termasuklah peraturan-peraturan semasa di dalam Dewan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara.

Pada kebiasaannya, Sesi Persidangan Majlis Mesyuarat Negara dibahagikan kepada Sesi Pagi yang bermula pada pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari dan Sesi Petang pada jam 2 petang hingga 4:30 petang.

Bagi sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi pihak Urusetia Majlis Mesyuarat Negara di talian 2384202/2380501 sambungan 5118.

ARTIKEL YANG SAMA