Mo Farah ungguli 5,000 meter

Mo Farah ungguli 5,000 meter

RIO DE JANEIRO, 21 Ogos – Pelari jarak jauh Britain, Mo Farah melengkapkan penguasaannya pada dua edisi Olimpik berturut-turut dengan meraih kemenangan dalam acara 5,000 meter (m) di Rio, hari ini tatkala atlet Amerika Syarikat (AS), Matt Centrowitz mencipta kejutan memenangi emas 1,500m.

Farah muncul selaku lelaki pertama sejak legenda Finland Lasse Viren melakar pencapaian sama pada Olimpik edisi 1976 dengan kejayaan itu hadir buat pelari berusia 33 tahun itu hanya seminggu selepas mempertahankan pingat emas acara 10,000m di Stadium Olimpik Rio.

Atlet kelahiran Somalia dan mendapat kerakyatan Britain itu sekali lagi menampilkan rentak taktikal larian yang menakjubkan untuk mengetepikan semua pencabarnya dan meraih emas dengan catatan 13 minit 03.30 saat. “Sukar untuk mempercayainya!” kata Farah.

“Kaki saya masih merasai kepenatan selepas menghabiskan larian 10,000m. Malah, ia menyebabkan orang perlu menghantar makanan ke bilik saya.

pg24_160822_olympic logo

Farah (kanan) dan pelari dari Amerika Syarikat, Paul Kipkemoi Chelimo (dua kanan), menamatkan acara 5,000 meter lelaki di Rio. – AP
Farah (kanan) dan pelari dari Amerika Syarikat, Paul Kipkemoi Chelimo (dua kanan), menamatkan acara 5,000 meter lelaki di Rio. – AP

“Ini menjadi kemenangan yang paling memuaskan daripada empat emas yang saya menangi, ia sangat luar biasa.

“Sekiranya anda mempunyai impian yang boleh menjadi kenyataan, sudah pasti saya mahu mencapai kejayaan ini untuk anak saya kerana hampir sepanjang tahun saya tidak bertemu mereka.  Saya mahu menunjukkan pingat ini sebagai sebab mengapa saya sering tidak berada di rumah.”

Centrowits, sementara itu menghasilkan kejutan terbesar pada malam terakhir acara olahraga, apabila menundukkan juara bertahan Taoufik Makhloufi dari Algeria ke tempat kedua dengan memenangi emas menerusi catatan masa 3 minit 50.00s.

Centrowits kini meletakkan namanya sebagai lelaki pertama Amerika Syarikat memenangi acara itu selepas lebih daripada satu abad ia dikuasai pelari daripada benua Afrika. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA