MOA ceriakan Aidilfitri Pusat Ehsan

MOA ceriakan Aidilfitri Pusat Ehsan

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Julai – Persatuan Pemilik Mini (MOA) Negara Brunei Darussalam telah membawakan keceriaan kepada warga Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam di Bengkurong dengan mengadakan perkumpulan menyambut Hari Raya Aidilfitri di pusat berkenaan, hari ini.

Presiden MOA, Awang Romzi bin Haji Mohd Yusof dalam ucapannya, melahirkan penghargaan atas penerimaan pihak Pusat Ehsan atas kunjungan ahli-ahli MOA ke pusat berkenaan.

“Adalah menjadi harapan saya agar majlis petang ini memberi peluang kepada semua warga pusat ini dan ahli-ahli MOA serta para jemputan untuk merapatkan lagi silaturahim sambil menikmati juadah yang disediakan.”

Katanya lagi, acara ini secara tidak langsung dapat mewujudkan semangat kekeluargaan dan mengukuhkan perpaduan sesama mereka melalui perkongsian pengalaman, buah fikiran dan pendapat.

Beliau juga berharap agar majlis tersebut terus memekarkan semangat kerja berpasukan dalam organisasi MOA.

Antara persembahan pada majlis tersebut.
Antara persembahan pada majlis tersebut.

“Kerja berpasukan mempunyai banyak kelebihan kerana kita saling bergantung dari segi pengetahuan, kepakaran, kemahiran dan keupayaan serta komitmen terhadap prestasi pasukan dan bersedia melaksanakan tugasan secara bersama.

“Nilai kerja ini seharusnya dikekalkan bagi memberi manfaat kepada MOA serta menjadi budaya kerja,” tambahnya lagi.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pemegang Amanah Perancangan dan Dasar Pusat Ehsan, Haji Ahmad bin Haji Abdul Rahman.

Pada majlis itu juga, MOA mempamerkan kereta buatan British, Mini kepada orang ramai dan para pelajar pusat berkenaan dan seterusnya membawa mereka menaiki kenderaan tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA