MOC catat kejayaan capai kualiti ISO 9001:2008

MOC catat kejayaan capai kualiti ISO 9001:2008

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 25 Nov – Sebuah syarikat tempatan, Syarikat MOC Sdn Bhd telah mencatatkan kejayaan yang membanggakan apabila diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan menerima Pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001: 2008.

Syarikat yang menyediakan perkhidmatan penghantaran barang dan logistik itu menerima sijil ISO daripada Biro Penilaian British pada 26 Ogos lalu setelah menjalani penilaian menyeluruh oleh Navin Sendirian Berhad dan ia mengambil masa selama lapan bulan sebelum dianugerahkan pensijilan berkenaan.

Pengarah Urusan Navin Sendirian Berhad, Thangaraja Hariram yang menyediakan perkhidmatan perundingan pengurusan kepada organisasi di negara ini, semasa ditemu bual berkata, untuk mendapatkan pensijilan ISO bukanlah satu perkara yang mudah.

Katanya, pensijilan ISO menjadi satu keperluan bagi kebanyakan organisasi perniagaan, daripada agensi kerajaan untuk organisasi terkemuka, terutamanya di negara yang terlibat dalam perindustrian tenaga, kerana pensijilan tersebut menggambarkan sesebuah organisasi yang memilikinya beroperasi di bawah tahap piawaian yang tinggi dan berkualiti.

Syarikat MOC Sdn Bhd ditubuhkan pada 1995, dimiliki dan diurus oleh anak tempatan dengan ibu pejabatnya terletak di Perindustrian Sungai Duhon, KB.

Ia memberikan perkhidmatan logistik yang amat luas dengan penghantaran melalui udara, laut dan darat,  perkhidmatan marin dan agensi, pengangkutan, logistik industri minyak dan gas, chandler luar pantai, perkhidmatan pemeliharaan, gudang, bungkusan industri, penyewaan kereta, kargo kapal udara dan carter kapal serta sebagainya.

Pegawai Quality Assurance, Syarikat MOC Sdn Bhd, Awang Mohd Azman bin Ibrahim menjelaskan, pensijilan QMS ISO 9001 ini merupakan satu peristiwa yang penting bagi syarikat itu dan ia merupakan langkah pertama ke arah Piawaian ISO yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Ke arah itu, tambah beliau, syarikat berkenaan telah mengambil langkah-langkah bagi meningkatkan lagi pensijilan ISO syarikat itu.

Menurutnya, pensijilan ISO sangat penting, bukan hanya dalam berurusan dengan pelanggan tempatan, tetapi juga luar negara, kerana syarikat yang memiliki pensijilan itu sudah dikenal pasti memenuhi tahap kualiti yang dikehendaki.

Jelasnya lagi, pensijilan ISO 2008 akan tamat dalam tempoh dua tahun dan syarikat itu dalam persiapan menaik taraf kepada standard ISO 2015 yang dijangka akan didapatkan pada tahun depan.

ARTIKEL YANG SAMA