MOC rancang strategi keusahawanan

MOC rancang strategi keusahawanan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jan – Sekumpulan usahawan tempatan, hari ini, telah mengadakan sesi jaringan keusahawanan bagi warga media dan usahawan-usahawan tempatan yang berlangsung di Bilik Pusat Perniagaan, Hotel Centrepoint.

Sesi ini berobjektif untuk memberi pengetahuan mendalam mengenai ‘keajaiban-keajaiban modal’ dan bagaimana perniagaan tempatan dari apa sahaja skala boleh mendapat manfaat, merancang dan berkembang menjadi organisasi besar di peringkat antarabangsa dan akhirnya disenaraikan dalam bursa saham tanpa mengira lokasi, termasuklah Brunei.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, ‘The Miracles of Capital’ (MOC) adalah kursus mekanisme modal yang dikendalikan oleh penceramah jemputan, Dr. Wong Jeh Shyan dari Singapura yang mempunyai pengalaman luas sebagai kapitalis usaha sama untuk pembangunan dan penyenaraian perniagaan di pelbagai bursa saham.

Kepakaran profesionalnya termasuklah pemodelan kewangan yang sofistikated dan pembangunan model perniagaan.

Gambar ramai Dr. Wong (tiga dari kiri) bersama ahli MOC yang lain dan usahawan-usahawan tempatan.
Gambar ramai Dr. Wong (tiga dari kiri) bersama ahli MOC yang lain dan usahawan-usahawan tempatan.

Pada masa ini, beliau merupakan ahli Lembaga Pengarah beberapa buah syarikat pelaburan di Singapura, Malaysia, Mauritius, Pakistan, Afrika Selatan dan China. Beliau kini berada di Brunei untuk kursus perniagaan yang melibatkan peserta-peserta dari rantau ASEAN.

Kenyataan itu menjelaskan, sementara yang lain berfikir bagaimana untuk terus bertahan dalam ekonomi yang tertumpu pada modal baru ini, satu era mekanisme modal baru menanti, bermakna lebih banyak pertumbuhan, lebih banyak produktiviti, dan lebih banyak keuntungan.

Menurut kenyataan itu, MOC melengkapkan usahawan dan perniagaan mereka dengan strategi dan psikologi untuk berkembang maju dalam dunia modal yang baru ini dengan mendedahkan Kuasa Mekanisme Modal (Power of Capital Mechanism) dan mewujudkan model perniagaan yang mengagumkan seperti McDonald, Apple, AirAsia dan Amazon.

Di MOC, usahawan akan mengetahui di mana perniagaan mereka berada pada masa ini dan ke mana mereka mahukannya dengan hala tuju dan peta jalan yang jelas. Sesi jaringan berkenaan telah dimulakan oleh sekumpulan usahawan tempatan dengan diketuai oleh Nicky Wong, iaitu seorang usahawan yang mempunyai latar belakang intensif dalam industri perniagaan tempatan.

“Selama beberapa tahun, kerajaan telah menggalakkan kita untuk menceburi pasaran luar negara. Dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, baru-baru ini, mesej daripada syarikat tempatan menembusi pasaran-pasaran antarabangsa sekali lagi bergema dan ini adalah salah satu daripada sebab-sebab utama kami untuk menjemput Dr. Wong datang ke Brunei bagi berkongsi pengetahuan dengan usahawan rakan-rakan tempatan,” jelas Nicky. Untuk mengetahui lebih lanjut, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang MOC di http://miraclescapital.com

ARTIKEL YANG SAMA