Model permuafakatan ASEAN boleh dijadikan rujukan EU

Model permuafakatan ASEAN boleh dijadikan rujukan EU

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) – Konsep permuafakatan yang didukung ASEAN boleh dijadikan rujukan oleh pertubuhan antarabangsa seperti Kesatuan Eropah (EU), meskipun negara anggota ASEAN bukanlah tergolong dalam kalangan kuasa besar dunia.

Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Muhammad Fuad Othman berkata sejak penubuhannya pada 1967, ASEAN masih mengekalkan keamanan dan keselamatan dalam kalangan negara anggotanya.

Beliau berkata ia dapat dilakukan kerana adanya prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman satu sama lain seperti yang terkandung dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).

“Meskipun berada dalam sebuah persatuan, tidak bermakna kita perlu setuju dengan setiap perkara yang dikemukakan oleh negara-negara anggota. Disebabkan kesepaduan dalam ASEAN, maka negara anggotanya mempunyai ruang dan peluang untuk membangunkan negara bangsa masing-masing,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Mengulas pungutan suara United Kingdom (UK) yang menyaksikan rakyat negara itu mengundi untuk keluar daripada EU, Prof Muhammad Fuad berkata masalah utama dalam kesatuan itu ialah apabila ia mengguna pakai sistem kewangan dengan satu nilai mata wang iaitu Euro.

Beliau berkata apabila ada kalangan anggota EU yang menghadapi masalah ekonomi, ia turut memberi kesan kepada negara anggota lain.

Bagi negara-negara ASEAN pula, setiap negara tertakluk kepada mata wang sendiri dan sekiranya nilai mata wang sesebuah negara anggota jatuh, ia tidak begitu memberi kesan kepada negara anggota lain, katanya.

Pungutan suara UK yang berlangsung pada Khamis diadakan bagi menentukan nasib negara itu di dalam EU sekali gus mencorakkan isu-isu utama seperti konsep pergerakan bebas, imigresen dan hubungan kerjasama ekonomi.

Prof Muhammad Fuad berkata konsep rantau tanpa sempadan yang diguna pakai EU menjadi punca lambakan imigran termasuk di UK sehingga menjejaskan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

“Dari aspek berkaitan, misalnya, Jerman merupakan negara anggota EU yang menerima pelarian paling ramai terutamanya dari Syria namun, apabila jumlahnya keterlaluan, ia akan menyebabkan sistem kesatuan itu turut terjejas dan menjadi tidak stabil,” katanya.

Beliau berkata ASEAN juga sedang bergerak ke arah rantau tanpa sempadan tetapi ia masih dibatasi dengan peraturan tertentu termasuk penetapan kuota kemasukan pekerja asing.

Justeru itu, katanya adalah penting untuk menjaga dan berada dalam kesatuan yang mempunyai terma dan syarat yang dipersetujui bersama bagi memastikan kemajuan ekonomi, sosial dan politik dapat dicapai.

Prof Muhammd Fuad berkata dengan menjadi sebahagian daripada ASEAN, Malaysia mempunyai peluang untuk bekerjasama dan berunding dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat, selain memberi pendapat dan idea yang sering dipandang tinggi oleh negara anggota.

Dekan Pusat Pengajian Siswazah Pemerintahan Ghazali Shafie UUM Prof Dr Mohd Kamarulnizam Abdullah yang turut sependapat dengan Prof Muhammd Fuad berkata konsep utama sesebuah kesatuan adalah ‘beri dan terima’.

Apabila sesebuah komuniti itu dibina, bukan senang untuk mana-mana negara anggota keluar kerana secara tidak langsung, ia akan menyusahkan aturan dan perjanjian sedia ada, kena dibatalkan.

“Pentingnya berada di dalam kesatuan adalah bila semangat keserantauan di antara negara anggota dapat ditingkatkan. Tetapi, apa yang berlaku di UK adalah semangat nasionalisme masyarakatnya lebih tinggi dan mereka rasa terbeban untuk mengikut aturan EU yang dirasakan tidak sesuai,” katanya.

Sehubungan itu, Prof Dr Mohd Kamarulnizam berkata aspek toleransi sesama negara anggota menjadi pemangkin kejayaan kepada sesebuah persatuan.

“Ini sama seperti pembentukan Komuniti ASEAN yang menumpukan kepada kerjasama lebih erat antara kerajaan dan rakyat dengan memfokuskan tiga tonggak utama iaitu politik dan keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya,” jelas beliau.

ARTIKEL YANG SAMA