MODENAS akan ...

MODENAS akan teroka kepakaran BAL India

KUALA LUMPUR,19 April – Motosikal Dan Enjin Nasional (MODENAS),  unit   DRB-HICOM Bhd,  bersedia memasuki segmen ‘street bike’ di Malaysia menerusi usaha sama dengan Bajaj Auto Ltd (BAL) India.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM  Datuk Seri Syed Faisal Albar yakin langkah itu akan memperkukuh jenama dan membantunya menguasai bahagian pasaran yang lebih besar dalam segmen motosikal.

“Kerjasama itu selari dengan aspirasi kami untuk memperkukuh jenama MODENAS secara keseluruhan, dengan menawarkan  jenis yang lebih banyak kepada peminat motosikal.

“Pasaran tempatan menyambut baik usaha sama MODENAS dengan Kymco dalam segmen skuter pada November tahun lepas, dan syarikat itu kini bersedia melangkah ke pasaran yang lebih agresif iaitu  segmen street bike,” katanya dalam satu kenyataan.

Syed Faisal berkata menerusi usaha sama dengan  BAL, MODENAS kini mempunyai segmen baharu untuk diteroka dengan memanfaatkan pengalaman dan kepakaran teknologi BAL.

Usaha sama itu akan dilaksanakan secara berperingkat termasuk pengedaran dan pemindahan teknologi  menerusi pembangunan hab pemasangan khusus di kilang MODENAS di Gurun, Kedah.

Pada peringkat awal,  MODENAS dan BAL merancang menembusi pasaran antarabangsa menggunakan jenama MODENAS di  ASEAN dan melepasinya, katanya.

Motosikal BAL kini merupakan peneraju pasaran dalam segmen masing-masing di 74 negara termasuk Amerika  Latin, Timur Tengah, Asia Selatan,  ASEAN dan Eropah, dan merupakan pengeluar keemat terbesar bagi motosikal tiga dan dua tayar di dunia.

“Model Bajaj akan diperkenalkan di Malaysia tidak lama lagi, sudah membuktikan kejayaannya di peringkat dunia, dan kami yakin keadaan yang sama akan dialami di Malaysia,” katanya. – Bernama