Modi: Jerman rakan sebenar India

Modi: Jerman rakan sebenar India

NEW DELHI, 5 Okt (AFP) – Narendra Modi hari ini memuji Jerman sebagai ‘rakan sebenar’ India selepas menandatangani perjanjian bersama Angela Merkel dalam tenaga bersih dan mempertingkatkan pelaburan penjana tenaga Eropah dalam ekonomi ketiga terbesar di Asia.

Canselor Jerman mengadakan rundingan panjang bersama perdana menteri India dalam lawatan pertamanya ke New Delhi sejak parti berhaluan kanan Modi berkuasa pada Mei 2014, menjanjikan reformasi dan pemulihan ekonomi.

Dalam lawatan itu, Merkel dan menteri-menterinya telah menandatangani 18 perjanjian bersama kerajaan India, termasuk tenaga diperbaharui dan persetujuan pantas bagi syarikat-syarikat Jerman beroperasi di India.

“Kami melihat Jerman sebagai rakan sebenar dalam mencapai visi kami iaitu transformasi ekonomi India. Kekukuhan Jerman dan keutamaan India adalah sejajar,” kata Modi selepas mesyuarat yang berakhir selama tiga jam bersama Merkel, yang tiba di bandar itu pada Ahad.

Angela Merkel (kiri) ketika berucap sambil disaksikan oleh Narendra Modi. – AFP
Angela Merkel (kiri) ketika berucap sambil disaksikan oleh Narendra Modi. – AFP

Syarikat-syarikat luar telah lama kecewa dengan tahap pencukaian India, rasuah dan halangan lain untuk berurus niaga. Tetapi ramai menyambut baik usaha Modi berhubung reformasi ekonomi yang bertujuan menjadikan India tempat yang lebih boleh dipercayai dan telus untuk melabur.

Kedua-dua negara itu menandatangani perniagaan bernilai dua bilion euro (AS$2.25 bilion) ke atas pelaburan Jerman dalam membangun koridor tenaga bersih India dan industri tenaga solar, menjelang rundingan perubahan iklim PBB lewat tahun ini.

Jerman sudah menjadi rakan perdagangan paling penting India di Eropah, dan kedua-duanya, Modi serta Merkel berkata mereka ingin meningkatkan perdagangan dua hala.

Tetapi Menteri Luar Jerman Frank-Walter Steinmeier berkata syarikat-syarikat Jerman bimbang tentang ‘terlalu banyak prosedur yang tidak perlu dan mengambil masa lama, halangan infrastruktur, rasuah, ketiadaan buruh mahir dan pertikaian cukai’ di India.

Kedua-dua negara itu bertukar-tukar perniagaan bernilai hampir 16 bilion euro pada tahun 2014 – kebanyakannya kimia, alat mesin, barangan elektrik dan tekstil.