Modi ketuai sesi yoga

Modi ketuai sesi yoga

NEW DELHI, 21 Jun (AFP) – Perdana Menteri Narendra Modi hari ini menyambut baik Hari Yoga Antarabangsa pertama sebagai ‘era keamanan baru’, beberapa detik sebelum beliau mengejutkan beribu-ribu orang di New Delhi dengan duduk di atas tikar untuk meraikan amalan lama India itu.

Modi yang menyukai yoga mengetuai lebih 35,000 orang, termasuklah birokrat, pelajar-pelajar dan tentera, melakukan gaya seperti separa unta dan ular tedung dalam sesi yoga luar beramai-ramai yang bermula 7 pagi di jalan berhias New Delhi.

Para penganjur berharap acara itu layak bagi Guinness Book of World Records bagi kelas yoga terbesar pada satu tempat.

Gelaran terkini, menurut laman web Guinness telah dicipta oleh 29,973 pelajar di Gwalior, India dalam tahun 2005.

“Yoga adalah lebih daripada hanya kesihatan fizikal. Kita bukan saja meraikan harinya, tetapi kita melatih minda manusia untuk memulakan era baru keamanan,” Modi memberitahu orang ramai di jalan Rajpath.

Perdana Menteri India, Narendra Modi (tengah) menyertai sesi yoga besar-besaran bersama pengamal yoga India yang lain. – AFP
Perdana Menteri India, Narendra Modi (tengah) menyertai sesi yoga besar-besaran bersama pengamal yoga India yang lain. – AFP

Dia berterima kasih kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan 177 negara penyokong bersama kerana mengambil ideanya bagi Hari Yoga Sedunia.

“Ini adalah program bagi kebajikan manusia, dunia bebas tekanan dan satu program untuk menyebarkan mesej kasih sayang, keamanan dan muhibah,” kata perdana menteri, yang mengenakan pakaian putih dengan skarf tiga warna kebangsaan.

Modi kemudian mengejutkan orang ramai dengan meninggalkan pentas, menanggalkan kaca matanya, dan mendapatkan tempat di hadapan sesi beramai-ramai untuk menggambarkan regangan, pernafasan dan gerak meditasi yang diperlihatkan di skrin besar di sepanjang jalan bersejarah itu.

Beliau berehat sekejap di tengah sesi untuk berjalan di sekeliling dan memeriksa para pelajar yang melakukan yoga di hadapannya sebelum menyertai semula 15 gaya rutin, yang termasuklah gaya buaya dan ‘pelepasan angin’.

Perdana Menteri, yang memuji yoga kerana kemampuan beliau untuk melakukan kerja berjam-jam dengan tidur yang sedikit, hanya dijadualkan untuk berucap di Rajpath, yang mana di situ tikar dengan beraneka warna dibentangkan di seluruh bahagian yang menghubungkan istana presiden dan monumen ikonik India Gate.

Imej dari udara yang diambil pada waktu hampir subuh menunjukkan Rajpath, atau Jalan Raja, seperti lautan putih dengan begitu ramai orang, yang memakai baju kemeja T Hari Yoga, menunduk dan meregang serentak dengan arahan dalam bahasa Inggeris dan Hindi dengan berlatar belakangkan irama klasik India yang berkumandang dari alat pembesar suara.

Tengah Delhi ditutup dan permaidani dihamparkan dengan berbelas-belas pengesan logam dan banyak tempat pemeriksaan dibina bagi hari besar itu yang menyaksikan para orang kenamaan lain termasuklah Ketua Menteri Delhi Arvind Kejriwal terlibat sama.

Orang ramai di 650 buah daerah menyertai sama, dengan gambar-gambar dihantar di Twitter dari seluruh negara.

Sebilangannya menunjukkan tentera melakukan pelbagai gaya yoga – dengan berlatar belakangkan gunung tinggi bersalji, di glasier Siachen, medan pertempuran tertinggi di dunia, di Kashmir India yang bertikai manakala gambar lain menunjukkan para penduduk melakukan yoga di taman-taman setempat.