Modi temui eksekutif media sosial

Modi temui eksekutif media sosial

SAN FRANCISCO, 27 Sept (Reuters) – Perdana Menteri India Narendra Modi bukan sahaja akan menyampaikan ucapan kepada eksekutif terbesar Silicon Valley ketika lawatan dua harinya ke pusat teknologi Amerika Syarikat (AS) tetapi juga akan menjawab soalan sebahagian daripada 1.5 bilion pengguna Facebook Inc di sebuah dewan perbandaran hari ini.

Modi, 65, adalah pemimpin India pertama yang melawat Pantai Barat AS dalam lebih daripada 30 tahun.

Lawatan beliau menyusuli satu lawatan yang sama oleh presiden China, Xi Jinping, yang bertemu dengan beberapa pemimpin teknologi di Seattle pada minggu lalu.

Ketua eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg mengumumkan lawatan Modi di laman Facebooknya pada awal bulan ini dan menjemput pengguna supaya mengemukakan soalan.

Lebih 37,000 komen dibuat dalam jawapan, dengan soalan berkisar daripada isu mengenai perkembangan Internet di India, kadar pengangguran dan gesaan meminta Modi supaya mengatasi rekod hak asasi manusia.

Perdana Menteri India, Narendra Modi melambai kepada khalayak ramai ketika tiba di hotelnya menjelang mesyuarat Perhimpunan Agung PBB di Manhattan, New York pada 23 September 2015. – Reuters
Perdana Menteri India, Narendra Modi melambai kepada khalayak ramai ketika tiba di hotelnya menjelang mesyuarat Perhimpunan Agung PBB di Manhattan, New York pada 23 September 2015. – Reuters

Modi telah dikritik kerana tidak melakukan secukupnya untuk menghalang rusuhan agama 2002 di Gujarat yang membunuh kira-kira 1,000 orang, kebanyakannya warga Islam, apabila beliau menjadi ketua menteri negeri berkenaan. Beliau menafikan melakukan sebarang kesalahan.

Beberapa kumpulan telah membantah ketibaan beliau. Kumpulan Keadilan Sikh telah meminta anggotanya supaya mengadakan mogok di ibu pejabat Facebook yang terletak sebelum dewan perbandaran.

Bagaimanapun, Modi tetap popular dan dijangka menerima sambutan hangat sepanjang lawatan beliau.

Modi mempunyai rating persetujuan sebanyak 87 peratus di India dan merupakan pemimpin kedua paling popular di media sosial selepas Presiden AS, Barack Obama.

Beliau mempunyai 15 juta pengikut Twitter dan lebih 30 juta “likes” dalam Facebook.

Modi tidak sabar membawa pelaburan teknologi yang lebih besar dan pekerjaan kembali ke India untuk membantu firma baru mereka.

Beliau juga berusaha menggalakkan sesetengah warga India yang telah berkembang maju di sekitar Silicon Valley untuk berkongsi pengetahuan mereka di tempat asal.

Kebanyakan lawatannya, yang bermula kelmarin, juga memfokuskan untuk berhubungan dengan komuniti India di Silicon Valley.