MOE pertahankan kejuaraan

MOE pertahankan kejuaraan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei – Menang 34-33 tahun lalu dan menang 40-39 tahun ini, Kementerian Pendidikan (MOE) mempertahankan pingat emas acara bola jaring Pesta Sukan Kementerian-Kementerian (PSKK) 2015, sekali gus mengecewakan Kementerian Pertahanan (MINDEF) buat kali kedua berturut-turut, dengan perbezaan hanya satu gol.

Dalam saingan penuh dramatik petang ini di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB), MOE pada satu ketika ketinggalan 30-39 pada suku masa keempat dan terakhir sebelum kebangkitan dengan penghasilan 10 gol berturut-turut sedang MINDEF gagal menambah jaringan.

Pada kedudukan 40-39, MOE boleh menjadikan kedudukan 41-39, tetapipenjaring (GS) nya gagal memasukkan bola ke dalam jaring, sekaligus memberi peluang MINDEF melakukan serangan terakhir untuk mendapatkan gol penyamaan dan pada saat penting GS MINDEF pula gagal, yang ternyata menjadi percubaan terakhir dengan wisel penamat berbunyi selepas itu.

MINDEF mendahului perlawanan sedari suku masa pertama dengan jaringan 14-11, namun MOE mencantas pendahuluan itu kepada hanya satu gol pada suku masa kedua dengan menjaringkan 10 gol berbanding hanya lapan buat MINDEF, untuk menjadikan kedudukan 22-21 dan masih memihak kepada MINDEF.

Suku masa ketiga menyaksikan MINDEF semakin hebat dengan serangan-serangan pantas menggunakan bola rendah bagi mengimbangi pertahanan (GD) MOE yang tinggi lampai sehingga berjaya menghasilkan 13 gol berbalas tujuh gol untuk suku masa ketiga berkesudahan MINDEF 35 gol dan MOE 28 gol.

Hajah Aminah menyampaikan pingat kepada pemenang.
Hajah Aminah menyampaikan pingat kepada pemenang.
Dayang Hajah Aminah bergambar ramai bersama para pemenang acara bola jaring Pesta Sukan Kementerian-Kementerian 2015.
Dayang Hajah Aminah bergambar ramai bersama para pemenang acara bola jaring Pesta Sukan Kementerian-Kementerian 2015.
Hajah Aminah bersama Kementerian Pertahanan yang muncul naib juara.
Hajah Aminah bersama Kementerian Pertahanan yang muncul naib juara.

Masa-masa awal suku masa keempat masih dikawal MINDEF sehingga berjaya menambah empat gol untuk catatan 39 gol berbanding hanya dua gol tambahan MOE untuk jumlah 30 gol, tetapi ternyata angka 39 menjadi gol terakhir MINDEF setelah ‘foul’ demi ‘foul’ dilakukan pemain MINDEF, sekali gus memberi ruang MOE bangkit mengejar sehingga berjaya mencecah 40 gol.

Pingat gangsa tahun ini turut kekal di tangan Kementerian Kesihatan (MOH), yang berjaya menewaskan Kementerian Pembangunan dengan jaringan 51-39 setelah mengawal setiap suku masa perlawanan iaitu 15-10, 13-12, 11-6 dan 12-11. Tahun lalu MOH menang 41-39 ke atas Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk memenangi pingat gangsa.

Hadir menyaksikan perlawanan mencari tempat ketiga dan perlawanan akhir berkenaan dan kemudiannya berkesudian untuk menyempurnakan majlis penyampaian pingat kepada para pemenang ialah Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Hajah Aminah bin Haji Momin.

ARTIKEL YANG SAMA