MOH susun semula struktur organisasi

MOH susun semula struktur organisasi

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan penyusunan semula struktur organisasinya berkuat kuasa 10 Februari lalu bermatlamat mengurangkan duplikasi pelbagai perkhidmatan dan pembaziran sumber dengan memfokuskan ke arah penghasilan yang akan memberikan impak besar.

Dalam keadaan negara menghadapi pelbagai cabaran kesihatan termasuk peningkatan jumlah penyakit tidak berjangkit (NCD), perubahan demografi penduduk, harapan rakyat yang semakin meningkat, dihambat pula oleh keadaan ekonomi global yang tidak menentu, maka pendekatan baru adalah diperlukan di mana Kementerian Kesihatan tidak lagi boleh beroperasi seperti biasa atau pun ‘business as usual’.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, Kementerian Kesihatan berkata, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah Baginda pada pembukaan sesi ke-11 Persidangan Majlis Mesyuarat Negara tahun lalu, menekankan pentingnya mengamalkan perbelanjaan berhemat dan memastikan ia akan membawa nilai yang diharapkan.

Melalui visi ‘Bersama ke Arah Warga Sihat’, Kementerian Kesihatan menggariskan tiga keutamaan strategik bagi tempoh lima tahun mendatang iaitu Menerapkan bahawa kesihatan adalah tanggungjawab semua; Mencegah dan mengawal penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCDs); dan Memberi perkhidmatan cemerlang melalui penyepaduan dan pensejajaran perkhidmatan-perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Dalam konteks ini, lima langkah sedang dilaksanakan antaranya ialah ‘Kembali kepada asas’ dengan menilai semula misi dan matlamatnya, memahami siapa dan apakah harapan pelanggan; pencapaian yang telah diperoleh serta perancangan selanjutnya.

Melaksanakan pembaikan secara berterusan di setiap peringkat organisasi dengan fokus ke arah pengurangan pembaziran di samping meningkatkan nilai kepada orang ramai;

Pendekatan dan penglibatan yang lebih terbuka di mana setiap individu adalah bertanggungjawab terhadap kesihatan serta kesejahteraan diri sendiri.

Ini akan memerlukan pendekatan secara berkolaborasi dan bersepadu seluruh negara (whole of nation approach) yang melibatkan setiap pihak berkepentingan.

Memperkasa (empower) lebih daripada 6,000 warga kementerian ini untuk menjadi lebih inovatif dan penyelesai masalah (problem solvers) yang mana akan menghasilkan budaya akauntabiliti dan kebanggaan dalam tugasan mereka di samping mengurangkan birokrasi; dan Menanamkan ‘minda yang sentiasa berkembang’ dan mendukung perkembangan para warga Kementerian.

Profesional kesihatan akan terus mengamalkan kepakarannya dan memberikan sumbangan berterusan ke atas perkembangan perkhidmatan penjagaan kesihatan di Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan itu lagi, nadi kepada struktur organisasi Kementerian Kesihatan yang baru adalah empat nilai-nilai teras warga kementerian ini, Pelanggan Diutamakan; Bersepadu (bersatu dengan satu tujuan yang sama); Cemerlang (mengekalkan tahap profesionalisme yang tertinggi di mana semua pihak diutamakan dan perkhidmatan berkualiti tinggi diberikan pada setiap masa); dan Dinamik (menerima perubahan, membangunkan sumber tenaga manusia yang ada melalui minda yang sentiasa berkembang dan sentiasa mengambil peluang untuk membuat pembaikan).

ARTIKEL YANG SAMA