Mohais sedia tentang XN FT

Mohais sedia tentang XN FT

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Ogos – Setelah kejayaan dua pasukan termasuk pasukan I Team dan XN FT untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala Presiden DST Persatuan Bola sepak Veteran Negara Brunei Darussalam 2016 semalam, kini giliran dua lagi pasukan mara ke peringkat berkenaan dalam perlawanan di dua lokasi berbeza.

Mohais FC terpaksa akur dalam saingan Piala Presiden kali ini apabila tewas di tangan pasukan Al-Idrus yang juga memasuki peringkat separuh akhir Piala FA Persatuan Bola Sepak Veteran Brunei Darussalam dengan jaringan 2-1 dalam perlawanan yang diadakan di Padang Dewan Kemasyarakatan, Mukim Kilanas.

Sementara dalam perlawanan di Padang Kelab Rekreasi Diraja Brunei, Pasukan Kelab Rekreasi Brunei Shell pula langkah kanan apabila berjaya menewaskan pasukan tuan rumah RB Veterans dengan jaringan 4-2 melalui sepakan penalti.

Kedua-dua pasukan menunjukkan permainan seimbang dan saling berbalas-balas serangan sehingga kedua-dua pasukan terikat jaringan 1-1 setelah waktu sebenar tamat dan memaksa perlawanan ditentukan pada sepakan penentuan penalti yang akhirnya berpihak kepada pasukan pelawat.

Pengurus dan jurulatih Mohais FC, Pengiran Azhar Azman bn Pengiran Haji Mohd Salleh ketika dihubungi Media Permata menegaskan banyak dugaan yang ditempuhi pada musim ini apatah lagi Mohais adalah pasukan baru ditubuhkan.

Pengiran Azhar ketika melatih anak-anak didiknya dalam persediaan bagi menentang XN FT.
Pengiran Azhar ketika melatih anak-anak didiknya dalam persediaan bagi menentang XN FT.

“Sebagai pendedahan pertama, kami sangat gembira dengan pencapaian pasukan apatah lagi kami hanya tewas semalam di peringkat suku akhir dan walau terlepas peluang menjulang Piala Presiden, kami akan berusaha menghadapi Pasukan XN FT di peringkat separuh akhir Piala FA sedikit masa lagi,” ujarnya kepada Media Permata.

Menurutnya lagi, persiapan rapi dibuat secara berterusan melalui permainan namun cabaran besar dalam aspek strategi adalah jadual yang sangat padat sehingga ia turut menjejaskan fizikal pemain sehingga ada yang cedera dan kurang cergas dalam satu-satu perlawanan.

“Walaupun begitu kami bersyukur kerana tiada kecederaan yang serius dan menjejaskan senarai pemain utama dan semangat juang yang tinggi para pemain akan menjadi bekal kepada kami di Piala FA meskipun terpaksa berhenti dalam cabaran piala presiden semalam,” ujarnya lagi.

Pengiran Azhar menjelaskan bahawa dia sudah merangka strategi dan pelan permainan bagi perlawanan menentang pasukan XN FT yang padanya jauh berpengalaman dan menegaskan supaya pemain akan terus bersemangat serta terus fokus kepada perlawanan itu nanti.

ARTIKEL YANG SAMA