Mohd Shahfirul, Siti Hafizah juara Pertandingan Dai’e

Mohd Shahfirul, Siti Hafizah juara Pertandingan Dai’e

Oleh Hajah Saemah Kepli

SERIA, 26 Mei – Sebagai usaha mempelbagaikan aktiviti yang boleh menarik minat semua golongan masyarakat ke masjid, Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait dengan kerjasama ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Pekan Seria telah menganjurkan Pertandingan Dai’e Kumpulan Belia dan Beliawanis Masjid-Masjid Daerah Belait, hari ini.

Seramai 11 orang dalam kalangan belia dan beliawanis berusia antara 14 hingga 26 tahun yang mewakili masjid-masjid di Daerah Belait telah menyertai pertandingan tersebut yang turut bertujuan untuk menyumbang kepada masyarakat yang berilmu, melalui penyampaian tazkirah dalam waktu yang singkat dengan hasrat akan memberikan kesedaran kepada diri mereka sendiri dan juga masyarakat pada umumnya.

Muncul johan bahagian lelaki ialah Awang Mohd Shahfirul Iqbal bin Awang Abdul Sufri yang mewakili Masjid Muhammad Jamalul Alam Kuala Belait yang membawa tajuk tazkirahnya ‘Baik Sangka,’ manakala itu, tempat kedua dimenangi oleh Awang Mohd Hadi Saifullah bin Abdul Rahman mewakili Masjid Kampung Sungai Liang dengan tajuk tazkirahnya ‘Doa’, dan tempat ketiga pula disandang oleh Awang Faiz Asyraf bin Yusof mewakili Masjid Pekan Seria yang membawakan tajuk ‘Sabar’.

Sementara itu, johan bahagian perempuan telah disandang oleh Dayang Siti Hafizah al-Haziqah binti Ariffin yang Masjid Kampung Sungai Liang dengan tajuk tazkirahnya ‘Kemuliaan Membaca Al-Quran’ diikuti oleh Dayang Noraqidah binti Zailani dari Masjid Zainab Kampung Lumut di tempat kedua dengan tazkirah bertajuk ‘Adab Ziarah Orang Sakit’ dan Dayang Nur Hidayat binti haji Mohd Tasdi dari Masjid Pekan Seria yang membawakan tajuk ‘Adab Makan Minum’ berada di tempat ketiga.

Awang Haji Suhaimi menyempurnakan penyampaian hadiah.
Awang Haji Suhaimi menyempurnakan penyampaian hadiah.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan ialah Ketua Bahagian Bimbingan dan Latihan, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Suhaimi bin Haji Mohd Noor.

Dengan adanya pertandingan seperti itu, ia juga dihasratkan untuk dapat melahirkan peserta yang boleh menyampaikan tazkirah ataupun ceramah, seterusnya sebagai usaha untuk melahirkan peserta yang berani tampil di khalayak ramai dan dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai melalui ceramah yang disampaikan.

ARTIKEL YANG SAMA