Mohon bantuan kewangan

Mohon bantuan kewangan

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 8 Mac – Kos perubatan tinggi yang terpaksa ditanggung seorang balu berusia 55 tahun selepas suaminya meninggal dunia, menyebabkan beliau bergelut untuk menyara hidupnya dan keluarganya.

Kisah balu itu, Dayangku Sinah binti Pengiran Mohd Karim tersebar melalui media sosial selepas beliau merayu bantuan untuk meringankan bebanan keluarganya dan wartawan Media Permata mendapatkan pengesahan daripada beliau secara langsung hari ini.

Menurut Dayangku Sinah, suaminya seorang berkerakyatan Malaysia dan pernah bekerja sebagai pemandu di bawah Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria sebelum bersara. Arwah meninggal dunia akibat komplikasi beberapa penyakit yang dihidapinya selama beberapa tahun. Arwah juga ditahan di wad ICU selama dua bulan dan semenjak itulah bil bagi kos perubatannya melambung naik.

Beliau turut menceritakan pertemuan dengan pihak Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait untuk membincangkan mengenai kos perubatan itu dan mendapat persetujuan secara lisan daripada pihak hospital bahawa mereka akan menanggung kos perubatan dan kini beliau sedang menunggu jawapan bertulis daripada pihak hospital untuk pengesahan selanjutnya.

Dayangku Sinah bergambar bersama cucu-cucunya.
Dayangku Sinah bergambar bersama cucu-cucunya.

Dayangku Sinah yang merupakan suri rumah tangga yang tidak bekerja tetap dan mempunyai empat orang anak dan kini menetap di RPN Kampung Panaga 2000 di mana pembayaran bagi rumah tersebut ditanggung bersama beliau dan dibantu oleh keluarga kakaknya.

Menurutnya, antara kesukaran yang dialaminya ialah untuk membeli barang-barang keperluan asas seperti barang dapur dan makanan. “Ada kalanya saya ada sedikit wang untuk membelinya, ada kalanya tidak,” katanya.

Dua daripada empat anaknya sudah bekerja namun mereka ada tanggungan masing-masing dengan gaji kecil bekerja di syarikat swasta dan hanya mampu membantu serba sedikit.

Keperitan hidup Dayangku Sinah juga menarik perhatian Ahli Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung Panaga 2000 serta Ahli Jawatankuasa Majlis Perundingan Mukim (MPM) Seria. Salah seorang daripada Ahli Jawatankuasa MPM Seria, Awang Zaleha bin Lahap mengatakan beliau bercadang membawa permasalahan beliau untuk perbincangan bersama Penghulu Mukim Seria, Haji Jamail bin Haji Linap untuk meringankan keperitan dan membantu beliau mendapatkan bantuan.

ARTIKEL YANG SAMA