Mohon bantuan serangan udara Arab

Mohon bantuan serangan udara Arab

BENGHAZI, Libya, 16 Ogos (Reuters) – Kerajaan Libya yang diiktiraf antarabangsa meminta Negara-negara arab supaya melancarkan serangan udara ke atas Negara Islam (IS) di bandar tepi pantai Sirte, menurut kenyataan Kabinet semalam.

Dalam tempoh beberapa hari lepas, IS menumpaskan pemberontakan oleh kumpulan Salafis Islam dan para penduduk bersenjata yang cuba untuk membebaskan Bandar itu daripada genggaman mereka.

Berpuluh-puluh orang terbunuh, menurut penduduk-penduduk.

Pertempuran itu memburukkan lagi huru-hara di Libya, di mana dua kerajaan dan parlimen bersaing, bersama-sama suku kaum dan kumpulan bersenjata, berhempas pulas mendapatkan kawalan ke aras bandar dan wilayah, empat tahun selepas penyingkiran pemimpin veteran Muammar Ghadafi.

“Kerajaan sementara Libya menggesa… negara-negara Arab…supaya melancarkan serangan udara ke atas kedudukan kumpulan pengganas Daesh di Sirte,” kata kenyataan Kabinet.

Daesh adalah akronim bagi Negara Islam, yang mengeksploitasi kekosongan keselamatan di Libya seperti yang ia lakukan di Syria dan Iraq.

Kerajaan rasmi tersebut berpangkalan di timur Libya sejak kehilangan kawalan ke atas ibu negara Tripoli setahun lepas kepada kumpulan pesaing, yang menubuhkan pentadbirannya sendiri. Kedua-dua kerajaan tidak mempunyai kawalan ke aras Sirte yang merupakan tempat kelahiran Ghadafi.

Kedua-dua kerajaan sudah pun melancarkan serangan udara ke atas IS di Sirte sejak beberepa hari lepas tetapi keupayaan mereka adalah amat terhad, bergantung kepada pesawat perang dan helikopter lama daripada era Ghadafi.

Setakat ini masih belum jelas bagaimana negara-negara Arab akan memberikan respons.

Gabungan Arab diketuai oleh Arab Saudi melancarkan serangan udara ke atas pergerakan Houthi yang disokong Iran pada lewat Mac di Yaman.