Mohon dipercepatkan bantuan

Mohon dipercepatkan bantuan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Dis – Seorang ibu tunggal yang selama 12 tahun terpaksa berdepan bahaya dihempap rumahnya akibat endapan tanah tapak rumah beliau, sekali lagi merayu pihak berkuasa agar dapat mempertimbangkan permohonannya mendapatkan bantuan bagi membaik pulih tanah gelongsor yang semakin meranapkan struktur binaan rumah itu.

Lebih menyedihkan, keadaan struktur rumahnya di Simpang 73, Kampung Pulaie, Berakas yang tidak selamat itu turut memaksa Hajah Radna binti Haji Ahmad, 49, hidup berjauhan dengan anak lelaki sulungnya yang kini tinggal bersama saudara mereka, setelah nyaris dihempap siling atap.

Sewaktu ditemui di rumah beliau baru-baru ini, Hajah Radna telah menunjukkan bagaimana endapan tanah di kawasan dapur rumah papan itu terturun sekitar dua kaki dan mencondongkan separuh bahagian dapur, sekali gus memaksa beliau menggunakan sebahagian ruang makan sebagai tempat memasak.

Beliau menjelaskan, sejak endapan tanah itu bermula pada awal 2003, sedikit demi sedikit pergerakan tanah itu telah menjejaskan struktur rumah yang dikurniakan oleh Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB)kepada bapanya pada awal tahun 70-an dulu.

Menurutnya, menyedari belanja untuk menembok tebing parit yang runtuh dan menjadi punca endapan tanah itu serta membaik pulih rumahnya yang rosak, pada 27 Ogos 2013 beliau bertindak membuat permohonan bertulis bagi memohon bantuan membaiki rumah dan endapan tanah kepada pihak berkuasa, melalui Ketua Kampung Pulaie, Mukim Berakas ‘A’, Haji Zulkifli bin Haji Awang Ya’akub.

Lantai di ruang dapur sementara yang berlubang akibat pergerakan tanah di bawahnya.
Lantai di ruang dapur sementara yang berlubang akibat pergerakan tanah di bawahnya.

Permohonan yang mendapat sokongan ketua kampung itu seterusnya dipanjangkan ke Jabatan Daerah Brunei dan Muara, dan pada 18 November 2013, Jabatan Daerah Brunei dan Muara telah menghantar memorandum kepada Ketua Pengarah, Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menjalankan pemeriksaan dan penilaian.

Memorandum kedua yang bertarikh sama juga dihantar oleh Jabatan Daerah Brunei dan Muara kepada Setiausaha MUIB, Kementerian Hal Ehwal Ugama menyatakan sokongan jabatan itu terhadap permohonan bantuan itu, sambil memanjangkan perkara itu untuk pertimbangan dan bantuan yang sesuai diberikan oleh MUIB.

Ujar Hajah Radna, hanya JKR yang mengambil tindakan menjalankan pemeriksaan struktur endapan tanah dan pembuat penilaian terhadap rumah beliau.

Hasil pemeriksaan itu, JKR telah memanjangkan memorandum kepada Jabatan Daerah Brunei dan Muara pada 9 Jun 2014 sambil menggariskan tiga masalah utama, iaitu ‘struktur tambahan di bahagian dapur sebelah bawah condong, terdapat ruang (gap) di antara dinding dan tiang di kawasan dapur tambahan dan keadaan struktur rumah dalam keadaan yang kurang memuaskan’.

Hajah Radna menunjukkan bahagian dapurnya yang termendap dan meretakkan lantai simen.
Hajah Radna menunjukkan bahagian dapurnya yang termendap dan meretakkan lantai simen.
Bekas runtuhan siling bilik yang nyaris menghempap anak beliau.
Bekas runtuhan siling bilik yang nyaris menghempap anak beliau.

Seterusnya memorandum yang ditandatangani oleh Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya itu “menyarankan supaya Hajah Radna dan keluarganya mengosongkan dan seterusnya membaik pulih struktur rumah tersebut dan membuat kerja-kerja penstabilan tanah dengan segera demi keselamatan penghuni-penghuninya.”

Di sebalik sokongan-sokongan dan hasil pemeriksaan mengesahkan bahaya yang dihadapi beliau sekeluarga, maklum balas daripada MUIB masih tidak kunjung tiba dan tinggal menyepi sehingga kini.

“Setelah menanti sekian lama, dalam keadaan telah mendesak saya untuk mendapatkan kepastian di pejabat MUIB, dan saya telah banyak kali hadir ke MUIB untuk bertanyakan mengenai permohonan saya itu,” ujar beliau yang menyara hidup bersama anak-anak dengan menjalankan perniagaan menjual makanan siap menggunakan kenderaan ke premis-premis perniagaan dan pejabat.

Beliau berkata, setiap kali pergi bertanya pegawai bertanggungjawab mengenai status permohonannya itu, jawapan yang diterimanya ialah permohonan beliau sama ada masih dimesyuaratkan, atau dalam proses pertimbangan.

Setelah kehilangan punca ekoran sekian lama menanti, Hajah Radna memohon jasa baik pihak berwajib supaya mempertimbangkan sekali lagi permohonannya untuk bantuan membaiki semula endapan tanah dan kerosakan rumahnya itu agar dapat mendiaminya semula bersama ketiga-tiga anak beliau dalam keadaan selamat.

ARTIKEL YANG SAMA