Mohon keberkatan duduki peperiksaan

Mohon keberkatan duduki peperiksaan

Oleh Sim Y.H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Okt – Lebih 40 orang ahli pengakap serta ibu bapa mengambil bahagian dalam Program Persediaan Peperiksaan iaitu solat sunat hajat bagi ahli-ahli pengakap yang akan menduduki peperiksaan yang berlangsung di Balai Ibadah Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Jalan Gadong.

Program PPNBD melalui Bahagian Keagamaan ini adalah untuk ahli-ahli yang akan menduduki Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) bagi ahli Pengakap Tunas di sekolah rendah, Peperiksaan Sekolah Ugama Darjah 6 dan Peperiksaan Kemajuan Pelajar (SPE) bagi ahli-ahli Pengakap Muda serta Peperiksaan Peringkat ‘O’ (‘O’ level) bagi ahli Pengakap Remaja di sekolah menengah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPNBD, majlis yang diketuai oleh Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Penyelidikan dan Perkembangan, Awang Mohammad Arif bin Abdul Hadi dimulakan dengan solat sunat hajat disusuli dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai, doa peperiksaan dan solat Fardu Asar berjemaah.

Ahli pengakap kelana membaca Surah Yasin. – Gambar PPNBD
Ahli pengakap kelana membaca Surah Yasin. – Gambar PPNBD

Turut hadir ialah Setiausaha Agung PPNBD, Haji Zainuddin bin Haji Jaafar, Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Keagamaan, Haji Othman bin Durani, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap dan para pemimpin pasukan pengakap serta ahli-ahli Pengakap Kelana.

Majlis itu dihasratkan untuk memohon keberkatan dan pertolongan Allah SWT agar ahli-ahli pengakap yang akan menduduki peperiksaan itu nanti dipermudahkan dan dilapangkan hati serta lebih tenang ketika menjawab soalan peperiksaan di samping dapat mengeratkan silaturahim antara ahli-ahli pengakap, pemimpin pengakap serta keluarga ahli pengakap.

ARTIKEL YANG SAMA