Mohon keberkatan sebelum hadapi peperiksaan

Mohon keberkatan sebelum hadapi peperiksaan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Nov – Bagi sama-sama memohon kecemerlangan dalam Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU), seramai 546 pelajar Darjah 6 dari sekolah-sekolah ugama kawasan Brunei 1 telah menyertai solat Doha, solat Hajat, membaca Surah Yasin dan ceramah motivasi yang diadakan di Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Kampung Tamoi, baru-baru ini.

Program anjuran Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-sekolah Ugama Kawasan Brunei 1, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama itu telah dihadiri Pegawai Pengajian Islam Kawasan Brunei 1, Hajah Noorsiah binti Haji Mohd Noor.

Turut hadir ialah Pembantu Pegawai Pengajian Islam Kawasan Brunei 1, Awang Osman bin Haji Ismail dan beberapa orang pegawai JPI, guru-guru besar kawasan Brunei 1, guru-guru Darjah 6 serta tidak ketinggalan juga ibu bapa dan penjaga murid-murid.

Para pelajar yang bakal menghadapi Peperiksaan SSSRU ketika khusyuk mendengar ceramah motivasi.
Para pelajar yang bakal menghadapi Peperiksaan SSSRU ketika khusyuk mendengar ceramah motivasi.
Para pelajar perempuan turut tidak ketinggalan ikut serta dalam program keagamaan itu sebelum mereka menempuh alam peperiksaan.
Para pelajar perempuan turut tidak ketinggalan ikut serta dalam program keagamaan itu sebelum mereka menempuh alam peperiksaan.

Majlis dimulakan dengan solat Doha kemudian solat Hajat dan seterusnya membaca Surah Yasin serta doa menghadapi peperiksaan yang dipimpin oleh bilal masjid, Awang Sahran bin Haji Mohd Safar.

Ceramah motivasi mengenai peperiksaan kemudian menyusuli majlis yang disampaikan oleh Pegawai Pengajian Islam Brunei IV, Pengiran Abdul Razak bin Pengiran Haji Metahir.

Antara tujuan program ini diadakan adalah untuk sama-sama memohon, bermunajat dan berdoa kepada Allah Ta’ala agar pelajar Darjah 6 berjaya dengan cemerlang dalam Peperiksaan SSSRU serta memperoleh manfaat daripada ceramah motivasi yang dianjurkan itu.

ARTIKEL YANG SAMA