Mohon maaf kepada Malaysia, Singapura

Mohon maaf kepada Malaysia, Singapura

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Seorang anggota Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia memohon maaf kepada Malaysia dan Singapura berikutan masalah jerebu yang melanda kedua-dua negara berkenaan.

Ahli parti Nasional Demokrat Hamdhani Mukhdar Said dari daerah pemilihan Kalimantan Tengah berkata kerajaan Indonesia sedang melakukan tindakan pencegahan bagi menangani kebakaran yang berlaku di beberapa daerah di Sumatera dan Kalimantan.

“Kami minta maaf dari pemerintah Malaysia dan Singapura dalam hal ini (jerebu). Ia tidak disengajakan…Pemerintah Indonesia telah melakukan maksimal untuk menangani ini, malah presiden kami (Joko Widodo) juga sudah turun ke lokasi,” katanya kepada pemberita di Perhimpunan Agung kali ke-36 Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) di sini hari ini.

Beliau berkata Indonesia sedang mengalami musim kemarau yang menyebabkan berlakunya kebakaran hutan.

“Ada juga masyarakat yang membuka ladang, kalau membakar kita akan hukum.

KABUR... Pencakar langit bandar raya Kuala Lumpur diselubungi jerebu dan masih mencatat Indeks Pencemaran Udara yang tidak sihat iaitu pada bacaan 111 setakat pukul dua petang tadi.
IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya). – Bernama
KABUR… Pencakar langit bandar raya Kuala Lumpur diselubungi jerebu dan masih mencatat Indeks Pencemaran Udara yang tidak sihat iaitu pada bacaan 111 setakat pukul dua petang tadi.
IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya). – Bernama

“Tetapi ada juga akibat dari keadaan yang terlalu panas, jadi hutan-hutan yang kering terbakar sendiri, perusahaan kelapa sawit milik Malaysia juga terbakar,” katanya.Bagaimanapun, katanya, keadaan hujan termasuk yang berlaku di Kuala Lumpur ketika ini diharap dapat membantu mengurangkan jerebu.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, tujuh kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat melebihi 100 setakat pukul 8 pagi tadi.

Tiga kawasan di Negeri Sembilan merekodkan bacaan IPU tidak sihat – Nilai (135), Port Dickson (117) dan Seremban (114). Turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat ialah Bandaraya Melaka (111), Batu Muda (Kuala Lumpur) (108) dan Banting (106). – Bernama