Mohon nombor rumah kini secara online

Mohon nombor rumah kini secara online

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Dalam usaha meningkatkan perkhidmatan permohonan penomboran rumah, Jabatan Ukur melangkah setapak ke hadapan dengan memperkenalkan teknologi terkini bagi membolehkan permohonan dibuat secara online.

Jabatan Ukur dalam satu kenyataan hari ini berkata, peningkatan perkhidmatan ini adalah sebagai mendukung ke arah Wawasan 2035 sejajar dengan Perancangan Strategi Kementerian Pembangunan untuk sentiasa berusaha meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dengan menyediakan perkhidmatan online yang mudah diakses oleh orang ramai.

Perkhidmatan tersebut bermula pada Jun 2015 di mana permohonan penomboran rumah boleh dibuat secara online dan pemohon tidak perlu datang ke Jabatan Ukur bagi menghadapkan permohonan.

Pemohon hanya perlu melayari laman sesawang Jabatan Ukur di www.survey.gov.bn dengan mengisikan borang dan menyertakan maklumat yang diperlukan oleh jabatan.

Permohonan penomboran rumah adalah meliputi rumah-rumah persendirian dan rumah yang dibina oleh pemaju dan dengan adanya perkhidmatan secara online ini, pemohon akan menerima maklumat status permohonan mereka melalui emel mengikut fasa permohonan.

Menurut Jabatan Ukur, terdapat dua fasa permohonan penomboran rumah. Fasa pertama ialah sebelum rumah dibangun di mana setiap permohonan hendaklah disertakan dengan salinan kad pintar, rajah geran tanah dan pelan rumah.

Manakala setelah permohonan lengkap diisi, pemohon akan menerima melalui emel templat nombor rumah (sementara) untuk keperluan penyambungan air dan elektrik.

Sementara fasa kedua bagi rumah yang hampir siap di bangun (90 peratus siap), pemohon akan menerima makluman melalui emel untuk mengambil plat nombor rumah di Kaunter Pusat Maklumat Geomatik, Tingkat 2, Ibu Pejabat Jabatan Ukur atau cawangan daerah-daerah.

ARTIKEL YANG SAMA