Mohon timbang rasa

Mohon timbang rasa

WAKTU 12:15 tengah hari hingga 1:45 petang sudah tentu waktu sibuk di mana pekerja sektor
awam pulang dari pejabat dan pelajar pulang dari sekolah di Serasa, Pekan Muara dan beberapa buah sekolah swasta dan kerajaan di kawasan Kampung Kapok sepanjang Jalan Muara.

Sektor swasta perlu juga bertanggungjawab untuk mengelakkan kenderaan berat beroperasi dalam waktu sibuk ini kerana ia akan mengganggu kelancaran lalu lintas yang sememangnya sesak.

Bagaimanapun, pada sekitar waktu tengah hari 13 Oktober lalu, sebuah treler mengangkut kenderaan berat telah menyebabkan kereta panjang berbaris di belakang kenderaan ini.

Akibatnya anak saya yang sepatutnya sampai ke rumah pada jam 12:40 tengah hari dari salah sebuah sekolah kerajaan ke kawasan Rancangan Perumahan Negara di Kampong Tanah Jambu, telah sampai 1:15 petang.

Sedangkan anak saya akan turun ke Sekolah Ugama pada jam 1:30 petang. Ini membuatkan anak saya kelam kabut, kesuntukan masa untuk makan tengah hari dan menukar pakaian sekolah ugama dan sampai ke sekolah ugama.

Dalam hal begini, saya sebagai ibu bapa berharap agar pihak yang berkenaan supaya dapat menegur pengusaha-pengusaha perkhidmatan kenderaan berat supaya bertimbang rasa dan mengelak daripada membuat perjalanan pada waktu-waktu puncak seperti waktu pulang dan turun ke sekolah serta ketika pekerja-pekerja sektor awam turun semula ke pejabat.

– Bapa murid, Serasa

ARTIKEL YANG SAMA