Mohon waktu sempadan dilanjutkan

Mohon waktu sempadan dilanjutkan

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 25 Ogos – Bahagian Limbang berharap tempoh masa di Pos Imigresen di sempadan antara Brunei dan Malaysia dapat dilanjutkan dari jam 10 malam hingga 12 tengah malam sempena penganjuran Hari Kebangsaan Peringkat Negeri dan Pesta Limbang yang diadakan di daerah ini hujung minggu ini.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata cadangan untuk memanjangkan tempoh Pos Imigresen membabitkan kedua-dua negara sudah dipersetujui secara dasarnya sebelum ini.

Bagaimanapun katanya pihaknya berharap agar kerajaan Brunei dapat mempertimbangkan permohonan Limbang untuk memanjangkan tempoh di operasi di Pos Imigresen di sempadan kedua-dua negara sepanjang berlangsungnya Hari Kebangsaan Peringkat Negeri dan Pesta Limbang di sini hujung minggu ini.

“Satu surat sudah dihantar Pejabat Residen Limbang kepada kerajaan Brunei untuk memohon agar te poh operasi di pos sempadan kedua-dua negara dapat dipanjangkan dari 10 malam hingga 12 tengah malam bermula 29 Ogos hingga 31 Ogos ini,”katanya pada sidang media malam kelmarin.

Turut sama ialah Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Naroden Majais, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datu Misnu Taha, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail,Residen Limbang Maria Hasman dan Timbalan Residen Sosial, Hamidah Halpi.

Awang Tengah yang juga Menteri Perindustrian berkata lanjutan masa di pos sempadan kedua-dua negara itu akan memudahkan orang ramai dan pengunjung luar untuk berulang alik sepanjang program itu nanti.

Beliau berkata lagi Limbang akan melakar sejarahnya tersendiri apabila menjadi tuan rumah Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri buat julung kalinya dengan penerimaan kemasukan pengunjung tempatan dan luar.

Setakat ini katanya sebanyak 36 penyertaan bagi pertandingan lumba perahu diterima bagi merebut mahkota kejuaraan dan gelaran Raja Batang Limbang sekali gus membawa pulang wang tunai RM10,000 dan piala.

“Penyertaan pertandingan lumba perahu adalah dari negara jiran Brunei, Lawas, Kuching, dan wilayah berdekatan untuk mengibarkan cabaran dalam kejohanan itu,”katanya.

Selain itu katanya pelbagai aktiviti hebat sudah diatur bermula 28 Ogos hingga 31 Ogos ini dengan aktiviti gerai jualan, Sarawak Kitchen, Kembara Jalur Gemilang, pentas rakyat, Larian Merdeka, perlumbaan bot laju, lumba perahu,sukan rakyat, pentas kebudayaan, regata Pesta limbang, Majlis Kesyukuran Hari Kebangsaan dan Konsert Sehati Sejiwa.

“Manakala kemuncaknya adalah pada 31 Ogos ini dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Pelepasan Raja Batang Limbang,”katanya, Awang Tengah mahu orang ramai memeriahkan program itu.

Lebih 50,000 pengunjung dijangka akan membanjiri Limbang sepanjang berlangsungnya Hari Kebangsaan dan Pesta Limbang itu nanti.