Moise menang undian presiden pusingan pertama

Moise menang undian presiden pusingan pertama

PORT-AU-PRINCE, 29 Nov – Ahli perniagaan, Jovenel Moise merayu bagi perpaduan lewat semalam selepas keputusan awal menunjukkan dia memenangi pilihan raya presiden Haiti dalam pusingan pertama.

Presiden Majlis Pilihan raya Sementara Leopold Berlanger memberi amaran bahawa keputusan itu adalah keputusan awal dan muktamad tidak akan disahkan sehingga 29 Disember.

Tiga dari sembilan anggota majlis enggan menandatangani keputusan yang diumumkan semalam, membayangkan konflik yang berpotensi ekoran keputusan itu.

Moise, ahli perniagaan berusia 48 tahun yang disokong oleh bekas presiden Michel Martelly tetapi tidak pernah memegang jawatan politik, telah merayu kepada rakyat Haiti supaya bersatu di belakangnya.

“Saya merayu kepada belia negara, kepada semua rakyat Haiti yang tinggal di luar negara, kepada semua profesional negara supaya berdiri di belakang saya untuk membangunkan negara, kerana Haiti telah gagal,” katanya, bercakap di hotel mewah beberapa minit selepas keputusan diumumkan.

Pengarah eksekutif majlis pilihan raya Uder Antoine berkata Moise memenangi 55.67 peratus undi. Jude Celestin, calon parti pembangkang LAPEH, meraih 19.52 peratus. Calon Moise Jean Charles meraih 11.04 peratus dan Maryse Narcisse dari parti Fanmi Lavalas 8.99 peratus. – AFP