Momentum pertumbuhan M’sia akan stabil pada 2017

Momentum pertumbuhan M’sia akan stabil pada 2017

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka stabil pada 2017, susulan permintaan domestik yang kukuh dan prospek permintaan luar yang bertambah baik, menurut RAM Ratings Services Bhd.

Dalam kenyataan hari ini, RAM Ratings mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.5 peratus pada 2017, lebih baik berbanding 4.2 peratus yang dijangka pada tahun ini.

“Peningkatan dalam jangkaan trajektori pertumbuhan Malaysia terus disokong oleh permintaan domestik yang kukuh,” katanya.

Bagaimanapun, pemulihan dalam sentimen pengguna dan perniagaan dijangka tidak secara meluas pada tahun depan berikutan jualan barangan tahan lama belum menunjukkan momentum yang mapan dan kekurangan pemangkin bagi perniagaan untuk mengembangkan kapasiti, katanya.

“Bagaimanapun, penggunaan swasta masih perlu disokong oleh permintaan untuk keperluan asas dan keadaan pasaran pekerja yang kembali normal. Pertumbuhan dalam bidang ini diunjurkan mencecah enam peratus pada 2017,” katanya.

Agensi penarafan itu berkata pertumbuhan pelaburan swasta akan terus disokong oleh projek infrastruktur mega dan dijangka pada 5.5 peratus pada tahun depan walaupun aktiviti pembinaan kapasiti kurang memberangsangkan.

Bagi faktor luaran, RAM Ratings berkata, terdapat tanda-tanda ekonomi AS mengukuh dan pengimbangan semula struktur teguh China.

“Namun begitu, ketidaktentuan mengenai bermulanya rundingan ‘British exit’ dan kesannya mungkin kepada perniagaan Eropah, strategi perdagangan AS di bawah pentadbiran baharu dan ketidaktentuan harga minyak global masih akan membawa kepada risiko penurunan kepada unjuran RAM Ratings bagi tahun depan,” katanya. – Bernama