Momentum positif – Terry

Momentum positif – Terry

LONDON, 24 Nov (Reuters) – John Terry percaya nasib Chelsea boleh berubah tepat pada masanya ketika kelab juara Liga Perdana Inggeris itu berkunjung ke Israel dengan prospek memastikan tempat ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.

Kapten Blues ceria selepas Chelsea menang 1-0 ke atas Norwich City pada aksi Liga Perdana Sabtu lalu sekali gus mengendurkan tekanan buat kelab gergasi London itu selepas permulaan buruk mereka musim ini.

Terry percaya kemenangan itu mampu menyelamatkan musim mereka, bermula dengan kemenangan menentang Maccabi Tel Aviv awal pagi esok yang mampu memastikan tempat buat Chelsea ke pusingan kedua dari Kumpulan G sekiranya FC Porto tidak kalah kepada Dynamo Kiev.

“Kami meraih tiga mata dalam Liga Perdana dan kini mengalih tumpuan kepada Liga Juara-Juara sekali lagi,” kata Terry. “Seluruh pasukan kini bertanggungjawab memastikan kejayaan ke peringkat seterusnya.

“Kami gembira menang. Lega pun sama. Harapnya, kami boleh mencatat lebih banyak kemenangan selepas ini dan melonjak dalam carta. Kami boleh meneruskan rentak ini dan harapnya meraih satu lagi kemenangan dalam Liga Juara-Juara.”

Kemenangan ke atas Norwich, dipastikan menerusi gol Diego Costa, hanyalah kemenangan keempat liga dalam 13 perlawanan namun mereka masih menghuni tangga ke-15 liga ketika masa depan Jose Mourinho sebagai pengurus masih menjadi tumpuan utama.

Kemaraan ke pusingan kedua Liga Juara-Juara pasti sesuatu yang dialu-alukan sekalipun Maccabi, yang menduduki tangga tercorot Kumpulan G tanpa sebarang mata dalam empat perlawanan, patut mencetus kebimbangan.

Tuan rumah hadir pada perlawanan itu berikutan kemenangan 3-0 di laman lawan ke atas Hapoel Haifa, yang dilangsungkan di stadium sama yang mana Maccabi Tel Aviv beraksi di Eropah. Kemenangan itu melonjakkan mereka semula ke puncak carta Liga Perdana Israel.