Monaco bimbang terlepas slot Liga Juara-Juara

Monaco bimbang terlepas slot Liga Juara-Juara

PARIS, 13 Mei (AFP) – Monaco perlu mengelak kekalahan pada hari terakhir saingan Ligue 1 atau berisiko kehilangan tempat ke Liga Juara-Juara kepada musuh setempat Nice, malam esok.

Kelab itu sudah berada dalam kelompok tiga terbaik sejak Disember lalu tetapi prestasi mereka mula jatuh kebelakangan ini dan kekalahan 1-6 kepada Lyon minggu lalu menamatkan harapan mereka untuk mengakhiri musim di tempat kedua sekali gus gagal menjamin tiket automatik ke Liga Juara-Juara.

Monaco yang menjadi tuan rumah kepada Montpellier di Stade Louis II kini memiliki jurang tiga mata berbanding pasukan tangga kedua Lyon, dengan perbezaan jumlah jaringan bermakna mereka perlu memberi tumpuan dalam meraih kedudukan ketiga.

Skuad kendalian Leonardo Jardim itu, yang melangkah ke suku akhir pertandingan elit Eropah itu pada musim lalu, perlu menang untuk memastikan mereka turut tidak terlucut peluang meraih slot kelayakan Liga Juara-Juara.

Jika tidak, Nice, ketinggalan dua mata di tangga keempat dengan kelebihan gol yang lebih banyak, boleh mengambil kesempatan dengan menewaskan Guingamp di Brittany, malam esok.

“Dalam aksi terakhir kami pulang hampa. Kami tewas, dan kami perlu telan hakikat ini, tetapi sekarang kami sudah melupakannya dan bersedia bangkit,” kata Jardim, yang menegaskan kedudukan ketiga menjadi buruannya.

“Lyon meraih tempat kedua musim lalu dan kini juga nombor dua. Paris sekali lagi tempat pertama. Kami juga perlu melakukan perkara sama dengan memastikan tempat ketiga.”

ARTIKEL YANG SAMA