Monaco duduki tangga teratas Ligue 1

Monaco duduki tangga teratas Ligue 1

PARIS, 30 Nov – Monaco kini menduduki kedudukan teratas Ligue 1 Perancis meskipun seri 1-1 menentang Dijon apabila kelab itu melepaskan gol pada lewat perlawanan awal pagi tadi.

Gol Frederic Sammaritano tiga minit sebelum perlawanan berakhir menghadiahkan Dijon satu mata selepas Monaco menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-17 menerusi Guido Carrillo.

Monaco dianggap pasukan paling prolifik di Eropah ketika ini apabila secara purata menjaringkan tiga gol setiap perlawanan dan kini mengumpul 33 mata bersama Nice namun dibezakan dengan jumlah jaringan.

Nice boleh merampas kembali kedudukan teratas apabila berkunjung ke Guingamp, awal pagi ini dengan penyandang juara, Paris Saint Germain yang menghuni tangga ketiga dan ketinggalan satu mata akan menanti kunjungan Angers di Parc des Princes.

Dalam perlawanan Ligue 1 lain, awal pagi tadi, Rennes tewas 2-1 kepada Lorient manakala Lille keluar daripada zon penyingkiran selepas mencatat kemenangan 4-2 ke atas Caen.

Antara aksi pada perlawanan tersebut. – AFP
Antara aksi pada perlawanan tersebut. – AFP

Pengendali sementara Lille, Patrick Collot, yang menggantikan Frederic Antonetti yang dipecat seminggu lalu bangga dengan persembahan pasukannya.

“Saya amat bangga dan gembira dengan pemain-pemain ini,” kata Collot. “Mereka menampilkan kesungguhan, keinginan untuk memburu kemenangan. Mereka sedar apa yang dipertaruhkan dan bermain dengan kekuatan yang penuh.”

Penyerang Portugal, Eder membuka tirai jaringan buat Lille seawal minit ke-13 namun terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan buku lali.

Penjaring gol kemenangan Euro 2016 kemudian menyaksikan pasukannya menjaringkan tiga lagi gol bermula dengan jaringanNaim Sliti (m24), Nicolas De Préville (m64) dan Rony Lopez (m65).

Gol-gol Caen diperoleh menerusi Julien Feret pada minit ke-31 dan bekas pemain Lille, Ronny Rodelin enam minit sebelum berlawanan berakhir. – AFP