Monaco hantar...

Monaco hantar Dormund pulang

MONACO, 20 April – Penyerang muda berbisa Monaco Kylian Mbappe sekali lagi merobek gawang Dortmund bagi membantu Monaco mencatat kemenangan 3-1 pada perlawanan suku akhir kedua Liga Juara-Juara.

Kemenangan tersebut menyaksikan kelab dari Perancis itu mara ke separuh akhir dengan agregat 6-3.

Mbappe membuktikan ketajamannya apabila menjaringkan gol pembukaan tuan rumah di Stade Louis II seawal minit ketiga permainan sebelum Radamel Falcao menggandakan kedudukan pada minit ke-17.

Dortmund yang terdesak bangkit merapatkan kedudukan tiga minit selepas babak kedua bermula menerusi kapten, Marco Reus namun pemain gantian, Valere Germain mengesahkan kemenangan yang membawa Monaco ke peringkat empat terakhir buat pertama kali sejak 2004.

“Kami amat gembira membawa Monaco ke peringkat separuh akhir. Ia amat penting bagi kelab-kelab di Perancis dan juga Perancis,” kata Falcao kepada beIN Sports.

Pemain Monaco menzahirkan penghargaan kepada para penyokong dan penonton yang lain selepas menewaskan Dortmund pada pusingan kedua suku akhir di stadium Louis II di Monaco, kelmarin. – AFP
Pemain Monaco menzahirkan penghargaan kepada para penyokong dan penonton yang lain selepas menewaskan Dortmund pada pusingan kedua suku akhir di stadium Louis II di Monaco, kelmarin. – AFP

“Sejak dari permulaan permainan kami memberikan tekanan yang tinggi dan menjaringkan gol awal dan ia menjadi dengan begitu baik.”

Pusingan pertama pada minggu lalu di Dortmund tertangguh sehari susulan serangan bom yang menyaksikan kelab Jerman berkenaan tewas 3-2.

Ketika mereka mengharapkan aksi di laman lawan menjadi medan kebangkitan, moral Dortmund sedikit terjejas apabila permainan di Stade Louis II ditangguhkan selama lima minit.

UEFA menyalahkan ‘keadaan trafik teruk’ menjadi punca kepada kejadian berkenaan menerusi laman sosial Twitter badan induk itu namun Dortmund berkata pergerakan mereka ditangguhkan oleh pihak polis kira-kira 20 minit ‘tanpa sebarang sebab yang wajar’.

“Ia perkara paling buruk boleh berlaku seminggu selepas serangan, semua orang berada dalam bas dan bersedia untuk pergi namun kami tidak dibenarkan bergerak,” kata pengurus Dortmund, Thomas Tuchel. – AFP