Monaco idam slot Liga Juara-Juara Eropah

Monaco idam slot Liga Juara-Juara Eropah

PARIS, 4 Mei (AFP) – Dua pemain Portugis Monaco, Bernard Silva dan Joao Moutinho membantu pasukan membelasah Toulouse 4-1 pada Ahad sehingga melonjakkan pasukan mereka lima mata daripada pengejar terdekat untuk merebut tempat ketiga Ligue 1 dan slot terakhir Liga Juara-Juara.

Silva menjaringkan gol yang cantik pada babak pertama dan Moutinho meledak gol kedua sehingga Monaco berada di depan Olimpik Marseille dalam persaingan liga yang diketuai oleh Lyon dan Paris Saint Germain (PSG).

Monaco menyambar gol pendahuluan dengan muslihat dari Silva, 20, yang mengambil tendangan sudut yang cepat dan merembat dari tepi kotak penalti untuk gol pada minit kesembilan. Toulouse sudah sepatutnya menyamakan kedudukan apabila penyerang Denmark, Martin Braithwaite mempamerkan gerakan menarik pada minit ke-26.

Penyerang Monaco, Anthony Martial yang berusia 19 tahun menyempurnakan sepakan penalti dengan sepakan terakhir separuh masa pertama selepas dia dikasari di dalam kotak. Satu tandukan cantik Moutinho dari jarak enam ela menjadikan kedudukan 3-1 sebelum sejam.

Kedua-dua pasukan terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-79 apabila perlawanan menjadi tidak terkawal dan pengadil terus melayangkan kad merah untuk pemain Monaco, Nabil Dirar dan Toulouse, Jean Armel Kana-Biyik.

Moutinho meledak lagi dengan jaringan pembunuh lewat untuk gol keempat hasil daripada umpanan Valere Germain dalam masa kecederaan.

Marseille beraksi dengan baik bagi meraih tempat Liga Juara-Juara setelah memimpin Ligue 1 pada Krismas. Tetapi Monaco menyaksikan pemulihan 15 mata antara kedua-dua kelab. Monaco kini meraih 65 mata dengan Marseille dan Saint Etienne masing-masing 60.

Monaco mempamerkan rentak yang menakjubkan dalam Liga Juara-Juara musim ini sebelum tersingkir di tangan Juventus selepas tewas dengan agregat 1-0 pada suku akhir.

ARTIKEL YANG SAMA