Monaco ikat Saint-Etienne 1-1

Monaco ikat Saint-Etienne 1-1

PARIS, 15 Feb – Penyerang Brazil, Vagner Love menyumbat gol pertamanya dalam saingan Ligue 1 apabila membantu Monaco meraih mata penting dengan mengikat Saint-Etienne 1-1 di Stade Geoffroy-Guichard, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan Monaco mengukuhkan kedudukan kedua liga – yang menawarkan tiket automatik ke Liga Juara-Juara selepas mengumpul 46 mata untuk meninggalkan pasukan tangga ketiga Nice dan Saint-Etienne, enam mata di belakang.

Barisan kendalian Christophe Galtier gah di laman sendiri dan penjaga gol Monaco Danijel Subasic dipaksa berhempas pulas menyelamatkan beberapa percubaan tatkala Saint-Etienne memberi tekanan hebat pada babak pertama.

Tetapi gawang penjaga gol antarabangsa Croatia itu akhirnya bocor selepas tandukan padu pertahanan Moustapha Sall mengelirukan dia untuk jaringan pembukaan tuan rumah pada minit ke-57

Tersentak dengan jaringan itu, Monaco kembali melancarkan serangan bertali arus menerusi beberapa percubaan berbahaya Thomas Lemar dan Helder Costa sebelum Love, 31, muncul wira pasukannya dengan jaringan penyamaan pada minit ke-84.

Jaringan Love itu jelas mengecewakan jurulatih Saint-Etienne, Galtier.

“Kami tidak memanfaatkan peluang apabila kami berada di depan. Kami kehilangan dua mata berikutan kesilapan 10 minit terakhir. Ia adalah memalukan buat pemain dan penyokong,” kata Galtier. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA