Monaco jamin tempat Eropah

Monaco jamin tempat Eropah

PARIS, 24 Mei (AFP) – Monaco, yang terjebak dalam persaingan tiga penjuru bersama Saint–Etienne dan Marseille, menempah tiket ketiga dan terakhir Liga Juara–Juara musim depan menerusi kemenangan 1-0 pada aksi penamat musim ke atas Lorient semalam.

Jaringan separuh masa pertama Yannick Ferreira Carrasco sudah cukup untuk membantu pasukan Principality itu menempah tempat dalam playoff ketika mereka masih kekal di tempat ketiga, dua mata di depan Marseille dan Saint-Etienne.

“Saya gembira dengan pemain dan peminat kerana Monaco menunjukkan mereka adalah pasukan ketiga terbaik di Perancis tahun ini. Mereka membuktikannya di atas padang daripada menghuni tangga tercorot liga sehingga melonjak ke tangga ketiga,” kata jurulatih Monaco, Leonardo Jardim.

“Saya percaya semuanya layak diterima. Kami melakukan tugas dengan baik. Tanpa permulaan hambar musim ini, kami mungkin lebih tinggi lagi.”

Pertahanan Monaco, Fabinho (kiri) bersaing dengan midfield Lorient, Romain Philippoteaux dalam aksi L1 di stadium Moustoir di Lorient, semalam. - AFP
Pertahanan Monaco, Fabinho (kiri) bersaing dengan midfield Lorient, Romain Philippoteaux dalam aksi L1 di stadium Moustoir di Lorient, semalam. – AFP

Marseille, dengan kemenangan 3-0 ke atas Bastia dan Saint-Etienne yang mengetepikan Guingamp 2-1, melengkapkan tempat mereka dalam play-off Liga Europa musim depan.

Perlawanan Marseille ditangguhkan selama 20 minit sebelum bermula separuh masa kedua kerana peminat melemparkan objek ke dalam padang sehingga pengadil perlawanan, Ruddy Buquet mengarahkan semua pemain kembali ke bilik persalinan sementara pasukan polis berusaha untuk mengawal penonton.