Monaco Juara Ligue 1

MONACO, 18 Mei – Pemain remaja sensasi Kylian Mbappe telah membantu Monaco memastikan gelaran Ligue 1 pertama dalam tempoh 17 tahun dengan jaringannya ke-15 musim ini dalam kemenangan 2-0 ke atas Saint-Etienne awal pagi tadi.

Pemain berusia 18 tahun itu berlari melepasi kawalan pertahanan pelawat sebelum dengan mudah menewaskan penjaga gol bagi jaringan pembukaan selepas 19 minit perlawanan di Stade Louis ll, maka penguasaan selama empat tahun Paris Saint-Germain (PSG) sebagai juara Perancis akhirnya berakhir.

Valere Germain menggandakan gol kedua di saat-saat akhir perlawanan.

“Kami boleh katakan bahawa kami adalah juara. Saya sangat bangga dengan pasukan ini, para pemain. Ia adalah satu impian, saya sangat gembira,” kata kapten Monaco, Radamel Falcao.

Para pemain Monaco meraikan kejayaan merangkul trofi Ligue 1 selepas menewaskan St Etienne di Stade Louis ll kelmarin. – AFP
Para pemain Monaco meraikan kejayaan merangkul trofi Ligue 1 selepas menewaskan St Etienne di Stade Louis ll kelmarin. – AFP

Skuad Leonardo Jardim boleh dikatakan sudah memastikan gelaran mereka selepas kemenangan 4-0 ke atas Lille hujung minggu lalu, kerana mereka mempunyai kelebihan jaringan yang terlalu besar dan hanya memerlukan satu mata bagi memastikan gelaran juara.

Kemenangan ke-11 berturut-turut Monaco itu telah membolehkan mereka mengutip 92 mata, enam mata di depan PSG, dan kini mereka boleh menyamai rekod 30 kemenangan PSG dalam musim yang sama di perlawanan akhir menentang Rennes.

“Kami mampu bertahan hingga ke akhirnya menentang pasukan-pasukan seperti Paris dan Nice, yang menyaingi kami hingga ke akhir musim,” kata Mbappe. – AFP