Monaco naik ke tangga kedua L1

Monaco naik ke tangga kedua L1

PARIS, 18 Jan – Monaco melonjak ke tangga kedua Ligue 1 (L1) Perancis selepas jaringan babak kedua menerusi Thomas Lemar dan Joao Moutinho membantu mereka menewaskan pasukan pertengahan liga, Lorient 2-0 awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan mereka mengumpul 36 mata daripada 21 perlawanan tetapi masih lagi jauh untuk mengejar pendahulu Paris St Germain dengan 57 mata selepas menundukkan Toulouse 1-0.

Monaco bagaimanapun kehilangan perancang Nabil Dirar kerana kecederaan selepas setengah jam permainan dan hanya mampu melakukan satu percubaan tepat.

Bagaimanapun, mereka tampil dengan aksi kemas pada babak kedua dan Lemar membuka tirai jaringan dengan menyudahkan hantaran Moutinho.

Moutinho mengukuhkan kedudukan Monaco dengan jaringan kedua empat minit kemudian apabila melencongkan bola cantik daripada sepakan percuma yang menerjah gawang yang dikawal Benjamin Lecomte.

“Kami beraksi lebih baik dan agresif selepas rehat. Idea pertama kami ialah bertahan dan kami juga melakukannya dengan baik,” kata jurulatih Leonardo Jardim.

St Etienne pula memenangi perlawanan tumpuan tetangga dengan menewaskan Lyonnais 1-0 di Geoffroy Guichard dengan Alexander Soderlund yang baru menyertai kelab awal bulan ini muncul wira dengan meledak gol kemenangan pada minit ke-76.

St Etienne kini menduduki tempat kelima dengan 32 mata, tiga mata di depan Lyon yang berada di kedudukan kesembilan carta.

Olympique de Marseille pula di tempat kelapan dengan 29 mata selepas menang 3-1 di Caen menerusi jaringan Michy Batshuayi, Georges Kevin N’koudou dan Bouna Sarr. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA