Monaco semakin matang

Monaco semakin matang

PARIS, 29 Julai (AFP) – Layvin Kurzawa membintangi pasukan suku akhir Liga Juara-Juara Monaco apabila skuad itu mengorak langkah besar ke pusingan play-off musim Liga Juara-Juara semalam dengan menang 3-1 di laman Young Boys di Switzerland dalam perlawanan pertama pusingan ketiga kelayakan.

Pertahanan Perancis berusia 22 tahun itu menyekat usaha penyerang Jepun Yuya Kubo pada minit ke-62 dan dua minit kemudian menjaringkan gol dengan voli cantik dari hantaran Fabinho untuk mengukuhkan laluan Monaco.

Tiga gol dalam 11 minit menyebabkan permainan bertambah tegang. Mereka menggandakan pendahuluan melalui Guido Carillo, yang baru turun seminit sebelum rekrut baru berusia 21 tahun dari Portugal Ivan Cavaleiro menanduk masuk sepakan percuma perancang Joao Moutinho pada minit ke-72.

Young Boys secara ringkas menguasai permainan ketika pemain tengah veteran Raphael Nuzolo merapatkan kedudukan 16 minit sebelum tamat.

Bagaimanapun, harapan mereka telah dipadamkan dalam masa seminit apabila Mario Pasalic yang dipinjaman dari juara Inggeris Chelsea, menjaringkan gol dengan rembatan kencang dari pinggir kawasan penalti.

Perlawanan kedua seharusnya menjadi formaliti Monaco untuk berhadapan tugas yang lebih sukar dengan lawan berpotensi seperti Manchester United dan Valencia dalam pusingan kelayakan terakhir yang akan membawa kepada pemenang ke peringkat kumpulan yang lebih lumayan.

Bagaimanapun, jurulatih Leonardo Jardim dengan banyak perubahan barisan berbanding musim lalu – veteran Dimitar Berbatov dan bintang muda seperti Geoffrey Kondogbia dan sayap antarabangsa Belgium Yannick Ferreira Carrasco sudah pergi – akan berdepan perlawanan yang agak mencabar.

Di tempat lain, Fenerbahce yang secara radikal mengubah skuad semasa musim tertutup kurang bernasib baik selepas seri 0-0 di Istanbul dengan pasukan dari Ukraine Shakhtar Donetsk, yang tidak asing pada peringkat kumpulan.

ARTIKEL YANG SAMA