Monaco terus kuasai Ligue 1

Monaco terus kuasai Ligue 1

PARIS, 27 Nov – Monaco meneruskan aksi cemerlang mereka apabila Valere Germain merembat dua gol ketika mengatasi Marseille 4-0 di laman sendiri, awal pagi tadi.

Gabriel Boschilia membuka jaringan menerusi sepakan percuma dan Germain menambah dua lagi gol untuk meletakkan Monaco selesa di depan pada babak pertama, sebelum pemain gantian Guido Carillo mengesahkan kemenangan bergaya pada minit terakhir permainan.

Keputusan itu hadir empat hari selepas Monaco menewaskan Tottenham Hotspur 2-1 untuk menempah tiket ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara sebagai juara Kumpulan E. Ia adalah kemenangan kelima berturut-turut Monaco dalam semua pertandingan dan kelab prolifik Eropah itu terus mengekalkan rekod jaringan yang hebat pada musim ini meledak purata tiga gol setiap perlawanan Ligue 1. Skuad kendalian Leonardo Jardim melonjak sementara ke tangga teratas carta berdasarkan perbezaan gol ke atas musuh tetangga Nice, yang boleh merampas kembali kedudukan itu apabila turun menentang Bastia, malam ini. – AFP