Monaco tewaskan Bastia 2-0

Monaco tewaskan Bastia 2-0

PARIS, 3 Feb – Monaco mengukuhkan cengkaman di tangga kedua Ligue 1 dengan kemenangan 2-0 ke atas Bastia awal pagi tadi, manakala Marseille yang bermain 10 orang menundukkan Montpellier 1-0.

Bekas pertahanan Monaco, Francois Modesto meletakkan pelawat di depan apabila dia tertampan bola sepakan sudut ke gawang sendiri 10 minit sebelum rehat di Stade Louis 11.

Ia disusuli rembatan padu Bernando Silva pada minit ke-73 menewaskan penjaga gol Bastia Jean-Loius Leca untuk kemenangan ketiga Monaco dalam empat percubaan untuk meninggalkan Angers pada jurang lima mata.

“Pasukan bermain baik, kami mengawal lawan kami, mencipta banyak peluang dan menjaringkan dua gol,” kata pengendali Monaco Leonardo Jardim yang berpuas hati dengan kebangkitan anak buahnya selepas kekalahan 3-0 di tangan Angers, Sabtu lalu.

Marseille sebelum ini memanfaatkan kehebatan mereka di laman lawan untuk memburu tempat ke Liga Juara-juara, dan sekali lagi ia memberi tuah ketika mereka bertandang di Stade de la Mosson.

Leonardo Jardim ketika menyaksikan perlawanan pasukannya bertemu Bastia. - Reuters
Leonardo Jardim ketika menyaksikan perlawanan pasukannya bertemu Bastia. – Reuters

Pasukan pelawat turun tanpa penjaring utama Michy Batshuayi yang digantung, manakala pemain Scotland Steven Fletcher tidak didaftarkan selepas perpindahan mengejut dari Sunderland.

Bagaimanapun, Georges-Kevin Nkoudou meraikan penampilan sulungnya bersama Marseille selepas berpindah dari Nantes pada musim panas apabila menyumbat gol kemenangan pada minit ke-68. – AFP