Monaco wujud peluang ke Liga Juara-juara

Monaco wujud peluang ke Liga Juara-juara

PARIS, 18 April (AFP) – Peluang Monaco untuk bersaing dalam Liga Juara-juara secara automatik muncul kembali selepas menewaskan kelab dilanda krisis, Marseille 2-1 dalam saingan Ligue 1, malam tadi.

Gol pada separuh masa kedua dari Bernardo Silva dan Andrea Raggi meletakkan Monaco kembali ke tempat kedua dengan 58 mata, dua mata di depan Lyon, dengan berbaki empat perlawanan.

“Ia satu kemenangan yang penting. Selepas ini, setiap perlawanan akan menjadi final,” kata jurulatih Monaco, Leonardo Jardim.

Marseille, yang mendapat gol saguhati pada masa kecederaan dari Michy Batshuayi, terus merana dalam kelompok lima pasukan bawahan liga, enam mata dari zon penyingkiran.

Para pemain Monaco meraikan kemenangan mereka pada perlawanan tersebut. – AFP
Para pemain Monaco meraikan kemenangan mereka pada perlawanan tersebut. – AFP

Krisis pasukan itu dikatakan mula timbul selepas pemiliknya, Margarita Louis-Dreyfus meletakkan kelab gergasi Perancis terbabit yang bermasalah untuk dijual.

“Ia adalah daripada perasaan sedih, diabaikan, yang membawa kepada keputusan ini ,” kata pengurus Marseille, Michel.

“Semua yang kami sudah lakukan untuk menghadapi perlawanan minggu ini tidak ditunjukkan di atas padang.

“Semua pemain dalam keadaan bimbang, mereka bimbang dan cemas.”

ARTIKEL YANG SAMA