Monk berang serangan tumpul

Monk berang serangan tumpul

LONDON, 24 Sept (Reuters) – Pengurus Swansea City Garry Monk berang dengan kelemahan barisan depan pasukannya ketika tewas 0-1 di tangan kelab Liga Kejuaraan Hull City pada pusingan ketiga Piala Liga, awal pagi semalam.

Swansea yang membuat 10 perubahan ke atas pasukan yang seri tanpa jaringan ketika menentang Everton di Liga Perdana Sabtu lalu, beroleh banyak peluang menjaringkan gol tetapi gagal berbuat demikian.

Pemain Hull David Meyler meledak gol tunggal perlawanan empat minit sebelum rehat dan kedudukan itu kekal hingga akhir permainan.

“Jika kami bermain seperti itu 10 kali lagi selepas ini, kami pasti menang sembilan daripadanya. Kami mencipta banyak peluang tetapi kami tidak mampu menterjemahkannya,” kata Monk.

“Ia situasi klasik di mana anda beroleh peluang tetapi disia-siakan begitu saja.

“Kami sepatutnya berada di depan tetapi kelemahan gerakan penyudah kami membuatkan kami terpaksa berputih mata sementara lawan pula menjaringkan gol menerusi satu-satunya peluang yang mereka ada,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA