Moody’s kekalkan unjuran stabil

Moody’s kekalkan unjuran stabil

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) – Moody’s Investors Service hari ini mengekalkan unjuran stabil terhadap sektor penapisan, pemasaran dan sektor kecil pertengahan hiliran industri minyak dan gas (O&G) bagi tahun 2016.

Menerusi Laporan Unjuran Global 2016 dihasilkannya, agensi penarafan antarabangsa itu berkata jangkaan berkenaan dibuat biarpun industri itu berdepan tempoh panjang mencabar, termasuk masalah lebihan penawaran yang menyebabkan penurunan harga minyak serta menekan industri O&G pada tahun depan.

Menurut laporan itu, walaupun pertumbuhan sektor penapisan dan pemasaran dijangka tidak berubah dan pertengahan hiliran yang lembap, kedua-dua sektor berkenaan diunjur terus kekal berada dalam lingkungan positif. Moody’s bagaimanapun, mengekalkan unjuran negatif terhadap sektor integrasi O&G iaitu penerokaan, pengeluaran serta penggerudian dan perkhidmatan bagi telaga minyak.

Unjuran negatif itu hanya memaparkan tekanan berterusan membabitkan lebihan penawaran semasa, termasuk peningkatan eksport minyak dari Iran dan prospek permintaan lebih rendah dari China – pengguna terbesar komoditi berikutan kelembapan ekonominya.

Sehubungan itu, Moody’s mengunjurkan sektor integrasi O&G untuk terus mengurangkan lagi perbelanjaan modal bagi tahun depan selepas bertindak membuat potongan sehingga 20 peratus, tahun ini.